Puasa pendidikan seumur hidup

No Image Caption
A
A
A

KITA pernah membaca berita tentang beberapa orang bukan Islam yang ingin mencuba berpuasa di dalam bulan Ramadan. Hal ini sering berlaku di kalangan ahli perniagaan yang mempunyai hubungan rapat dalam bidang perniagaan dengan negara Islam atau bidang pekerjaan yang lain, namun ramai pula yang tidak mampu menahan tuntutan nafsu makan dan minum yang amat sangat.

Saya juga mendengar daripada pelajar sebuah kolej berasrama penuh persendirian yang menceritakan bahawa kolejnya membuka peluang kepada para pelajar bukan Islam untuk berpuasa pada hari Ahad dan Rabu sekiranya mereka ingin mencuba secara sukarela.

Dalam situasi ini sememangnya terdapat juga di antara pelajar Malaysia dan bukan Malaysia yang bukan Islam mencuba untuk berpuasa, terutamanya pada hari Rabu, kerana pada hari Ahad mereka tidak bersekolah, dan perlu keluar makan di luar.

Namun mereka juga menceritakan bahawa mereka merasa agak berat untuk berpuasa, tak makan dan minum dalam jangka masa yang agak lama pada siang hari terutamanya dalam cuaca yang panas.

Saya membuat catatan ini kerana bagi saya amat baik juga sekiranya orang bukan Islam mencuba berpuasa untuk mendapat pengalaman berlapar dan dahaga bagi jangka waktu yang agak panjang, dan dalam cuaca negara kita yang panas ini. Malah dengan berpuasa, seseorang itu akan dapat merasa cabaran nafsu dan bagaimanakah kemampuannya melawan cabaran itu.

Sebenarnya orang Islam dapat melawan cabaran berpuasa dan sanggup melawan cabaran yang hebat ini ialah kerana mereka telah menanamkan kekuatan untuk menghadapi cabaran ini dalam pemikiran mereka dalam bentuk niat untuk berpuasa dan mengatasi segala susah payahnya dengan bersungguh-sungguh.

Komitmen ini menjadi satu kekuatan ialah kerana keyakinan mereka kepada ALLAH SWT sebagai Tuhan yang Maha Berkuasa dan keyakinan inilah yang disebutkan sebagai keimanan yang teguh.

Manusia ini secara tabiinya memang mempunyai kekuatan jasmani dan rohani dengan dorongan dan kesedaran hati dan kemahuan yang tinggi, dan keazaman dari dalam hatinya sendiri untuk mencapai sesuatu kejayaan. Oleh itu niat yang menunjukkan keyakinan mereka kepada Tuhan, ALLAH SWT inilah sebenarnya yang merupakan hikmat untuk melaksanakan suruhan ALLAH termasuk dalam ibadat seperti puasa ini.

Artikel Berkaitan:

Manusia yang beramanah untuk melakukan segala sesuatu yang baik menurut pengajaran ALLAH akan sanggup mengatasi segala cabaran dan godaan nafsu buruk yang dihadapinya dalam segala aspek aktiviti kehidupannya, terutamanya dalam menghadapi segala bentuk penyelewengan yang sering melanda alam manusia, termasuk dalam bidang kebendaan dan sikap individualistik yang melampau di dalam kehidupan mereka.

Ibadat puasa dengan itu merupakan satu bidang bagi mendapatkan ilmu dan pendidikan dalam kehidupan seseorang yang memahami dan ingin menghayati nilai integriti di dalam dunia nya. Kekuatan ini hanya akan dihasilkan dengan pendidikan formal dan tidak formal, juga latihan roh dan akal yang berpanjangan, yang bagi Islam ialah nilai-nilai amanah dan kebaikan ajaran agama sendiri.

Oleh itu, puasa merupakan satu didikan rohani dan jasmani untuk di biasakan sehingga menjadi budaya dan peraturan hidup yang mudah sekali di amalkan sepanjang hayatnya, hasil dari pembelajaran dan kursus sebulan pada setiap tahun yang mereka lalui itu.

Tahun demi tahun kita memasuki bulan Ramadan dan melalui asuhan serta pendidikan disiplin ini, amatlah diharapkan bahawa kesannya tidak hanya berlaku dengan baik di dalam bulan Ramadan sahaja, atau lebih bersifat peribadi dalam ibadat formal sahaja, malah di dalam sepanjang kehidupannya kerana puasa adalah pendidikan sepanjang hayat.

*Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!