Cabaran iman dan puasa dalam PKP
TAHUN ini merupakan tahun kedua rakyat Kelantan di tujuh daerah berpuasa dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membabitkan daerah Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah.
Kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di tujuh daerah ini bermula 16 April hingga 29 April 2021.
Setiap kali tiba bulan puasa, bazar Ramadan menjadi punca pendapatan peniaga-peniaga kecil. Pembatalan bazar Ramadan terpaksa dilakukan secara drastik kerana jumlah jangkitan Covid-19 di Kelantan yang tidak stabil serta kadar kebolehjangkitan yang tinggi.Kerajaan Kelantan juga berjiwa besar apabila secara terbuka memohon maaf kepada seluruh peniaga susulan pembatalan bazar Ramadan secara mengejut yang berkuat kuasa serta-merta.
Permohonan maaf itu disampaikan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, YB Dr Izani Husin dalam sidang akhbar yang berlangsung di pejabatnya.
Menurutnya, bayaran deposit bazar Ramadan yang dibuat oleh peniaga sebelum ini akan dikembalikan. Selain bazar Ramadan, program Madinah Ramadan turut dibatalkan dan ditukar menjadi Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 berisiko rendah (PKRC) kerana pusat-pusat lain sudah memenuhi kapasiti maksimum. Hospital-hospital kerajaan juga sudah penuh.
Sebagai kerajaan negeri yang prihatin, peruntukan sagu hati sebanyak RM1.5 juta akan diagihkan kepada 2,500 peniaga yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri Kelantan. Ia bertujuan menampung sedikit sebanyak kerugian yang mereka alami.
Ibadah puasa merupakan tuntutan syariat bagi umat Islam di seluruh dunia. Secara umumnya, tempoh berpuasa Ramadan adalah sekitar 14 hingga 16 jam sehari, bergantung pada negara di mana seseorang itu berada. Waktu siang yang agak panjang menjadi satu cabaran bagi mereka yang berpuasa, lebih-lebih lagi dalam keadaan panas terik.
Setiap kali Ramadan tiba juga, akan timbul geng plastik hitam, iaitu mereka yang ponteng puasa dan membeli makanan melalui pintu belakang kedai atau restoran dan membungkusnya dalam plastik hitam agar tidak kelihatan dari luar.
Yang menyedihkan lagi, tanah perkuburan bukan Islam dan ladang kelapa sawit antara lokasi terbaharu yang dikesan digunakan oleh kaki-kaki ponteng puasa di negara ini untuk melepaskan nafsu makan mereka pada siang hari dalam bulan Ramadan. Sepatutnya mereka insaf apabila berada di tanah perkuburan, bukannya makan tanpa rasa bersalah.
Jika dahulu umat Islam yang tidak berpuasa akan diangkut dengan van jenazah bagi menimbulkan rasa insaf pada diri mereka, sekarang ia sudah tidak lagi dilakukan. Mungkin tradisi ini tidak diteruskan bagi menjaga aib mereka yang ditangkap tidak berpuasa.
Sangat berbeza jika dibandingkan dengan kisah dua pengawal peribadi yang ditampar majikan, diacu dengan pistol serta diugut bunuh semata-mata kerana mereka berpuasa. Majikan terbabit telah memaksa kedua-duanya untuk tidak berpuasa. Apabila mereka enggan mengikut arahan, suspek telah bertindak menampar dan memukul mereka menggunakan sebatang rotan hingga menyebabkan salah seorang lebam pada bahagian badan dan mengalami pembekuan darah. Begitulah kesan kekuatan iman.
Semoga ibadah puasa kita dapat dijalankan dengan sempurna walaupun dalam keadaan PKP dan tiada bazar Ramadan. Yakinlah bahawa hikmah puasa bukan sahaja mampu meningkatkan iman pengamalnya, malah pelbagai kebaikan kesihatan juga akan turut dirasai.
*Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!