Kerana wang sanggup lakukan apa saja
PELBAGAI sektor perniagaan kerugian teruk akibat pandemik Covid-19. Yang bekerja pula kini sedang bergelut melalui hasil titik peluh sendiri.
Banyak kerja yang boleh kita lakukan. Jangan pula kerana keadaan terdesak, kita sanggup membuat kerja yang melanggari undang-undang.
Mungkin itulah dilakukan oleh mereka yang terbabit dalam pembikinan dua video yang mempromosikan judi dalam talian dengan bertemakan Aidilfitri yang tular di laman sosial baru-baru ini.
Isu tersebut sekali gus memberi pengajaran berguna kepada mereka yang sedang berjinak-jinak menjadi pelakon.
Kedua-dua iklan video judi itu mendedahkan kelonggaran undang-undang negara yang membenarkan pihak tertentu dengan sewenang-wenangnya menyiarkan ke dalam laman sosial untuk tontonan ramai.
Tidak kira apa jua kaum sekalipun, perbuatan berjudi adalah ditegah. Bagi umat Islam, berjudi adalah haram. Tetapi ada yang sanggup berlakon dalam video sedemikian yang terang-terang menyalahi undang-undang.
Seramai lapan individu, termasuk tiga wanita yang disyaki terbabit dalam pembikinan video itu seperti pelakon, ejen, juruvideo dan produser telahpun ditahan polis untuk siasatan lanjut.
Apakah kerana wang, mereka sanggup melakukan apa saja sehingga mencemari kesucian Aidilfitri?
Bagi syarikat judi, mereka sanggup melakukan apa saja asalkan promosi yang dibuat membawa keuntungan.
Namun bagaimana pula dengan pelakon-pelakon itu? Apakah mungkin mereka sudah diperdaya oleh produser?
Umum diketahui pelakon kerap terkena tipu helah oleh produser filem. Contohnya, terima kurang bayaran seperti yang dijanjikan ataupun dipaksa berlakon tanpa mengikut skrip di saat-saat akhir.
Berlakon boleh, tapi janganlah sampai menggadai maruah dan agama!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!