Kesedaran rasuah daripada awal
SHAH ALAM - Usaha membentuk kesedaran mengenai rasuah dalam jiwa generasi muda mengambil proses jangka masa yang panjang.
Presiden Persatuan Anak-Anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat), Mohd Sham Aziz Ismail berkata, masyarakat tidak boleh meletakkan sasaran sifar rasuah dapat dicapai dalam masa terdekat kerana ia tidak akan berlaku selagi kesedaran terhadap keburukan rasuah tidak wujud sejak awal.
“Kesedaran itu penting dan ia bermula dari titik permulaan pendidikan.
“Pendedahan itu memerlukan satu proses jangka masa panjang. Maknanya generasi muda pada hari ini perlu diberi pendedahan di peringkat sekolah menengah, universiti dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Mohd Sham berkata, generasi baharu perlu diberikan pendedahan dalam aspek pendidikan rasuah kerana mereka masih belum masuk ke dalam bidang pekerjaan.
“Kerajaan boleh berikan satu pendedahan khusus mengenai buruknya rasuah serta kesannya kepada negara. Maknanya kita kena ada satu modul khas berkaitan rasuah di peringkat industri pendidikan.
“Tetapi generasi baru yang belum terbabit dalam perniagaan, politik, pekerjaan dan lain-lain sepatutnya didedahkan dulu dengan pendidikan rasuah,” katanya.
Tambah Mohd Sham, penerapan pendidikan rasuah dalam jiwa generasi muda dapat membantu mereka membezakan sebarang aktiviti yang menjurus kepada perbuatan itu.
“Jadi, secara tidak langsung perasaan takut dan bersalah sentiasa bermain dalam jiwa mereka kerana telah diberi kesedaran dari peringkat sekolah lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!