Ikat perut tampung sewa rumah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pelajar dan graduan lepasan universiti terpaksa mengurangkan perbelanjaan makanan serta melupakan hasrat menyimpan wang demi menampung bayaran sewa rumah yang tinggi terutama di beberapa bandar utama di Malaysia.

Bagi graduan lepasan universiti, mereka berdepan kesukaran mendapatkan rumah sewa yang harga sepadan dengan pendapatan sehingga menjejaskan jumlah pemberian wang untuk ibu bapa di kampung.

Oleh kerana tidak mampu menyewa sebuah rumah atau apartmen, mereka akhirnya terpaksa menyewa bilik dengan berkongsi dengan individu tidak dikenali.

Segelintir golongan tersebut membuat pinjaman daripada rakan dan ahli keluarga untuk bayaran deposit serta sewa untuk bulan pertama.

Seorang guru pelatih, Izyan Syahiran Izzuddin, 24, berkata, dia bersama rakannya mengambil masa lebih sebulan untuk mendapatkan rumah sewa yang sesuai dengan pendapatan mereka.

“Memang sangat susah, untuk mencari rumah sewa sebab pertama, harga yang ditawarkan itu agak mahal.

“Ada juga yang mencecah sampai RM1,500 sehingga RM2,000 bagi rumah tiga bilik,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Katanya, dia bernasib baik kerana berjaya mendapatkan sebuah unit apartmen dengan sewa RM800 sebulan untuk dikongsikan bersama tujuh rakan lain.

Artikel Berkaitan:

“Untuk mencari rumah apartmen, harga sewa sebegitu memang susah. Biasa harga sewa sekitar RM1,000 ke RM1,200,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kadar sewa mungkin meningkat

Pelatih industri di sektor swasta di Shah Alam, Ahmad Fadhlullah Adnan, 24, pula berkata, dia menghadapi kesukaran untuk menyewa bilik secara bersendirian.

Katanya, kebanyakan bilik sewa yang ditawarkan adalah jenis bilik berkongsi dengan individu tidak dikenali.

“Bilik yang saya duduk ini sewanya lebih kurang RM300. Tapi sebab bahagi dua, sewa jadi murah,” katanya.

Keadaan bilik sewa yang menempatkan lebih daripada seorang individu.
Keadaan bilik sewa yang menempatkan lebih daripada seorang individu.

Ujar Ahmad, meskipun hanya perlu membayar lebih kurang RM175 sebulan selepas mengambil bilik yang perlu dikongsi itu, namun kadar itu tetap membebankan dengan kos perbelanjaan harian.

Graduan lepasan universiti yang kini bekerja sebagai pegawai eksekutif khidmat pelanggan di Kuala Lumpur, Jesika Berliana Simatupang, 24, berkata, di kawasan tempat tinggalnya, purata kadar sewa sebuah bilik yang penuh kelengkapan barangan mencecah sehingga RM900.

“Graduan universiti belum lagi menikmati gaji yang selesa ataupun cukup menampung harga sewa yang tinggi ini.

“Kesannya kami terpaksa kurangkan belanja makanan dan ramai pekerja di ibu kota lebih banyak makan mi segera, masak telur dan sayur sahaja,” katanya.

Ujar Jesika, segelintir pemilik rumah bertindak menaikkan harga sewa sekali gus menganiaya graduan.

Sementara itu, pelatih industri, Sarah Marini Kamaruddin, 22, berkata, dia terpaksa melakukan kerja sambilan bagi menampung perbelanjaan hariannya selepas bayaran elaun yang diterima hanya mencukupi bagi membayar sewa bilik.

“Saya kena cari duit makan sendiri. Jika nak kira elaun yang diterima, memang cukup untuk bayar rumah sahaja. Untuk makan, saya buat kerja sampingan penghantaran makanan.

“Saya kerja setiap hari jam 8.30 pagi hingga 5 petang dan cuti hanya Ahad. Buat penghantaran makanan memang memenatkan kerana ada sehingga jam 12 tengah malam baru selesai,” katanya kepada Sinar Harian.Seorang penjawat awam, Mohamad Isma Fahmie Nordin Ahmad, 24, pula berkata, dia lebih kerap memasak di rumah sewa berbanding makan di luar bagi menjimatkan perbelanjaan.

Tegasnya, bayaran sewa rumah yang tinggi memberi kesan kepada perbelanjaan lain.

“Saya kena kurangkan perbelanjaan. Adakala saya kena amalkan sifat berjimat cermat. Kalau nak makan di luar, nak merasa makan mahal, mungkin sekali sekala itu bolehlah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!