Cucu bekas MB Terengganu jadi penghantar makanan

Wan Nabihah Hannah ketika tiba di kediaman salah seorang pelanggannya di kawasan sekitar Bandar Chukai, Kemaman.
Wan Nabihah Hannah ketika tiba di kediaman salah seorang pelanggannya di kawasan sekitar Bandar Chukai, Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN - Cucu bekas Menteri Besar Terengganu, Allahyarham Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad memilih untuk menjadi penghantar makanan menggunakan basikal sebagai kerjaya sampingan di sekitar bandar Chukai, di sini.

Wan Nabihah Hannah Wan Abdul Hakim, 19, berkata, disebabkan tidak mempunyai lesen motosikal, dia menggunakan basikal untuk hantar makanan pada radius 2 kilometer (km) melalui syarikat Foodpanda sejak pertengahan Februari lalu.

Anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar itu berkata, dia kini berehat sementara sempena bulan Ramadan kerana khuatir tidak mampu bekerja dengan baik.

"Saya terfikir untuk buat kerja hantar makanan disebabkan jadual kerjanya yang fleksibel sesuai dengan status saya sebagai seorang pelajar. Selain itu, saya rasa ia adalah satu pekerjaan mencabar lebih-lebih lagi dilakukan oleh seorang wanita.

"Sebab itulah sebelum bulan puasa saya beri tumpuan lebih pada penghantaran dan ambil pesanan dengan jadual bekerja tiga hingga empat jam setiap hari sehingga saya pernah dapat RM500 dalam masa seminggu," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Wan Nabihah Hannah mengakui, disebabkan penghantaran makanan menggunakan basikal agak baharu di tempatnya menyebabkan dia tidak boleh lari daripada berdepan pandangan 'sinis' masyarakat sekeliling.

Wan Nabihah Hannah bekerja sebagai penghantar makanan sejak pertengahan Februari lalu.
Wan Nabihah Hannah bekerja sebagai penghantar makanan sejak pertengahan Februari lalu.

"Mula-mula kayuh basikal tu memang ada yang pandang 'lain macam' sebab mungkin jarang nampak. Bila dah lama saya tak rasa kekok. Penat memang penat tapi saya rasa seronok sebab dapat jumpa macam-macam orang. Ada orang senang, orang susah dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Saya akui nak mula kayuh memang malu namun bila dah lama-lama saya rasa 'enjoy' buat kerja ini malah rasa bangga pula sebab bagi saya pekerjaan ini bukan pekerjaan yang boleh dilabel sebagai 'kelas rendah'," katanya yang menuntut dalam jurusan perniagaan di Taylor's College di Subang Jaya.

Katanya, runner adalah pekerjaan kedua dilakukan selepas bekerja sebagai pembantu kedai (bancuh air) di Tealive Chukai selama enam bulan bermula Januari hingga Jun 2020.

Jelasnya, sebanyak 70 hingga 80 peratus daripada gaji yang diterima disimpan untuk kegunaan masa depan.

Wan Nabihah Hannah berkata, jangan berasa rendah diri melakukan apa pun pekerjaan serta jangan memandang rendah pekerjaan orang lain asalkan rezeki yang diperoleh adalah halal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!