Penghuni Pusat Pengajian Islam Fauzi diuji ketika solat tarawih

Ahmad Shazali di hadapan deretan tiga buah rumah di Pusat Pengajian Islam Fauzi yang hangus di Kampung Sungai Udang, Yan pada Jumaat.
Ahmad Shazali di hadapan deretan tiga buah rumah di Pusat Pengajian Islam Fauzi yang hangus di Kampung Sungai Udang, Yan pada Jumaat.
A
A
A

YAN - Pengerusi Pusat Pengajian Islam Fauzi, Ahmad Shazali Ahmed Pauzi bersyukur apabila semua penghuni di pusat tersebut terselamat daripada kebakaran pada malam Khamis di Kampung Sungai Udang, dekat sini.

“Syukur semua penghuni selamat dan hanya tiga rumah hangus dan dua rosak akibat kebakaran manakala 111 lagi buah rumah selamat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.

Bercerita lanjut tentang kebakaran pada malam Khamis di Kampung Sungai Udang, dekat sini, Ahmad Shazali berkata, kebakaran berlaku ketika semua penghuni sedang menunaikan solat tarawih di surau pusat pengajian itu kira-kira jam 9.35 malam.

“Ketika itu kami berada pada rakaat kelapan solat tarawih, lampu di surau berkelip-kelip menunjukkan sesuatu perkara berlaku.

“Selepas selesai rakaat kelapan, kedengaran orang di luar memanggil kami dan menyatakan ada berlaku kebakaran di pondok,” ujarnya yang menyatakan sebuah kereta dan empat motosikal turut hangus dalam kebakaran itu.

Tiga unit rumah pondok dua tingkat di pusat pengajian Pondok Fauzi hangus dalam kebakaran ketika umat Islam sedang menunaikan solat tarawih pada Khamis.
Tiga unit rumah pondok dua tingkat di pusat pengajian Pondok Fauzi hangus dalam kebakaran ketika umat Islam sedang menunaikan solat tarawih pada Khamis.

Menurutnya, beliau menganggap kejadian yang menimpa pusat pengajian yang diasaskan oleh Tuan Guru Ahmed Fauzi Mustaffa pada 1971 itu sebagai ujian kepada mereka di bulan Ramadan ini.

“Ujian ini sedikit sahaja. Terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah dan pasukan bomba sukarela yang pantas memadamkan kebakaran. Jika tanpa pertolongan orang awam yang turut memanggil bomba pasti jumlah pondok yang terbakar akan lebih banyak kerana pondok-pondok sini dibina berdekatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, pusat pengajian Islam itu kini didiami 160 penghuni warga emas dan dewasa dari seluruh negara yang mahu belajar ilmu agama.

“Terima kasih kepada mereka yang datang hulur bantuan dan bertanya khabar tentang kami. Di sebalik ujian ada rahmat-Nya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!