Ujian berterusan menimpa anak tersayang
SUNGAI SIPUT - Sudahlah kehilangan penglihatan mata kiri, kini seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun bakal kehilangan pendengaran apabila menghidap ‘chronic otitis media’.
Nur Mardhiah Shahadah Abdul Hadi pernah mendapat perhatian media tahun lalu apabila ketabahan kedua ibu bapanya, Nur Natasya Rasid, 25, dan Muhammad Iqmal Ramli, 25, menaiki motosikal sejauh 200 kilometer dari Ipoh ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) demi meneruskan rawatan kanser mata anaknya.
Ujian berterusan menimpa buat pasangan muda itu apabila anak ketiga mereka itu perlu segera menjalani pembedahan di telinga kanan kerana jangkitan kuman pada bahagian dalam organ tersebut.
Menurut Nur Natasya, mereka perlu bersedia dari segi fizikal dan mental apabila Mardhiah akan kehilangan keseimbangan badan ketika berjalan selain kehilangan senyuman.
“Minggu lalu, doktor menerangkan bahawa anak kami akan hilang sebelah deria pendengaran, malah jalannya nanti tidak seimbang dan saraf muka akan rosak selain kemungkinan mengalami kerosakan otak.
“Kami masih tidak percaya dengan khabar baru itu tambahan keadaan dia yang mengalami paru-paru kronik. Saya mengharapkan orang ramai dapat mendoakan kesembuhan Mardhiah,” kata Nur Natasya yang tetap reda dengan ketentuan-Nya terutama di bulan yang mulia ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!