‘Dugaan itu bukan satu bebanan’

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

SHAH ALAM - Umat Islam perlu bersabar dan reda dalam menempuh segala ujian yang menimpa sepanjang bulan Ramadan dan tidak menjadikan dugaan itu sebagai satu bebanan.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ujian tersebut sebenarnya untuk menambahkan pahala di samping menilai tahap kesabaran dan keikhlasan seseorang.

“ALLAH SWT akan uji kita dalam pelbagai bentuk seperti kehilangan harta, kehilangan nyawa mahupun jatuh sakit. Jadi, kalau kita mempunyai iman yang kuat di dalam diri, maka ini tidak menjadi satu masalah.

“ALLAH SWT beri signal kepada kita untuk muhasabah semula dengan segala perbuatan yang kita lakukan. Ujian ini untuk menambahkan pahala, nak menilai sejauh mana kesabaran dan keikhlasan serta ketaatan kita di bulan Ramadan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut beliau berkata, seseorang perlu kekal mentaati ALLAH SWT dan menunaikan segala kewajipan meskipun ditimpa pelbagai ujian ataupun musibah.

“Tidaklah bila berlaku kebakaran, kita tak puasa. Kita kena mengekalkan ketaatan, menunaikan segala yang dipertanggungjawabkan. Bahkan bersabar dalam menempuh ujian, bersyukur dalam menerima nikmat,” katanya.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, umat Islam perlu ingat bahawa setiap kesulitan pasti ada jalan keluar, malah percaya bahawa dunia ini hanyalah pinjaman semata-mata.

“Yang abadinya di sana nanti. Jadi, kita kena fikir dengan pandangan sebagai orang yang lebih beriman. Kena utamakan yang abadi dahulu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ujian itu ada beberapa bentuk sama ada melalui kesusahan ataupun kesenangan.

“Lazimnya setiap orang akan diuji dalam kehidupannya. Sebab itu agama mengajar kita untuk membina kehidupan atas tapak keimanan.

“Apabila kita ditimpa masalah, kita wajib bersabar dan bertawakal kepada ALLAH SWT. Jika diuji dengan kesenangan, janganlah pula kita hilang haluan. Kita kena hadapi dengan waras,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!