Tewaskan Brighton cerahkan peluang Chelsea ke Liga Juara-Juara
PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel menyifatkan kemenangan ke atas Brighton awal pagi Rabu nanti bakal mencerahkan peluang skuad kendaliannya itu beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Menurut Tuchel, kesempatan berkenaan diharap tidak dipersia-siakan pemain bagi memburu dua slot terakhir ke saingan berprestij bola sepak Eropah itu.
Justeru katanya, kesemua pemain diharap memberikan fokus di sepanjang perlawanan dalam usaha melakar kemenangan.
“Saya tidak mahu peluang ini dipersia-siakan oleh pemain. Ini kerana mengikut perkiraan, Chelsea perlu memenangi perlawanan ini bagi menghidupkan peluang ke Liga Juara-Juara.
“Oleh itu kesemua pemain yang diturunkan pada perlawanan berkenaan perlu memberikan aksi terbaik dalam memastikan kejayaan pasukan,” katanya.
Chelsea kini berada pada kedudukan kelima EPL dengan 54 mata daripada 31 perlawanan.
Bagaimanapun baki tujuh perlawanan terakhir musim ini, menyaksikan The Blues berdepan saingan sengit daripada Tottenham Hotspur, Liverpool, West Ham dan Leicester City yang turut berpeluang menamatkan saingan EPL 2021 pada kedudukan empat pasukan teratas dan layak secara automatik ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Namun kekalahan mengejut West Ham kepada Newcastle United selain prestasi cemerlang Liverpool apabila mencatatkan dua kemenangan berturut-turut sejak kebelakangan ini menjadikan perebutan berkenaan menjadi terbuka.
Sementara itu, Tuchel berkata, dia berazam untuk terus berkhidmat di Stamford Bridge lebih lama berbanding tempoh kontraknya selama 18 bulan.
Katanya, dia kini berasa selesa bersama The Blues dan mahu memastikan skuad kendaliannya itu melakar lebih banyak kejayaan.
“Saya dapat rasakan, saya diterima sebagai salah seorang ahli keluarga Chelsea dan saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk memastikan saya berada lebih lama di sini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!