Kes dikasari: Saya hanya ucap 'Assalamualaikum', kata Syed Saddiq
KUALA NERUS - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman nafi sengaja melakukan provokasi dengan melalui kawasan penyokong BN selepas penamaan calon PRK DUN Semenyih, semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar itu berkata, ia adalah persepsi yang cuba dibina oleh pihak tertentu untuk menyalahkan dirinya sedangkan perkara itu tidak benar seperti didakwa.
"Kedatangan saya semalam adalah sebagai Ketua Armada Bersatu bukan sebagai Menteri Belia dan Sukan.
"Jadi saya pandu kereta sendiri. Saya tak tahu macam mana (seperti dakwaan) saya boleh tiba-tiba turun dan parkir kereta di situ sedangkan saya parkir jauh di bawah bukit dan kejadian adalah selepas selesai penamaan.
"Ada bukti video menunjukkan saya berjalan keluar dan semua orang sudah bersurai ketika itu... jarak saya dengan penyokong BN juga agak jauh. Kalau saya nak cari gaduh, takkanlah saya nak datang seorang dengan dua, tiga orang rakan," katanya, hari ini.
Syed Saddiq berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya beliau sengaja membuat provokasi dengan turun dari kereta di kawasan penyokong BN, semalam.ARTIKEL BERKAITAN:
Diserang penyokong BN: Syed Saddiq lapor polis
Syed Saddiq cuba dikasari ketika penamaan calon
Terdahulu, beliau hadir ke sesi 'town hall' bersama pelajar, persatuan dan penggerak belia negeri di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Semalam, tular sebuah klip video memaparkan Syed Saddiq dikerumuni penyokong parti pembangkang sewaktu dalam perjalanan menuju ke keretanya selepas selesai proses penamaan calon bagi PRK Semenyih.
Video berdurasi 22 saat itu menunjukkan Syed Saddiq diiringi anggota polis serta anggota Unit Amal Pas sambil dikejar sekumpulan lelaki.
Syed Saddiq berkata, beliau tidak melakukan apa-apa provokasi dan tidak bercakap apa-apa perkataan kecuali 'Assalamualaikum', dan terus berjalan menuju ke kereta.
Beliau juga tidak mahu memanjangkan kenyataan mengenai kekasaran dan ugutan seperti didakwa dilakukan oleh blogger kontroversi Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris
yang merupakan Exco Pemuda Umno kerana yakin polis akan menjalankan siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!