Pengarah syarikat didenda jual cecair vape bernikotin
SHAH ALAM - Seorang pengarah urusan syarikat didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, atas dua pertuduhan memiliki dan menjual cecair rokok elektronik mengandungi nikotin, tiga tahun lalu.
Saiful Hairuddin Abdul Salam, 42, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Nur Faizah Abdul Sani.
Mahkamah turut memerintahkannya untuk menjalani hukuman penjara dua bulan bagi setiap pertuduhan, jika gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan pertama, Saiful Hairuddin didakwa, bukan sebagai orang yang dilesenkan di bawah Akta Racun 1952, untuk menjual racun secara runcit iaitu sebotol Cloud Chasers Sirap Bandung kepada seorang lelaki, yang mengandungi nikotin, yang mana ia tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952.
Kesalahan dilakukan di Seven Cloud Solutions, di Pusat Komersial Seksyen 7 di sini, pada jam 2.45 petang, 29 Januari 2018.
Bagi kesalahan itu, dia didapati melanggar Seksyen 16(1) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum mengikut 32(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara pertuduhan kedua, dia didakwa menjual atau membekalkan racun antaranya 10 kotak FFX Ask Your Mama, sembilan kotak FFX Vanilla Rose dan tujuh kotak The Dream Strawberry Milk mengandungi nikotin, yang tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952, pada jam 3 petang, tarikh sama.
Atas kesalahan itu, dia didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13(a) akta sama, boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman sama.
Dalam prosiding, Pegawai Pendakwa,Fauziah Mohamed Ismail mencadangkan Saiful Hairuddin dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Bagaimanapun, Saiful Hairuddin yang tidak diwakili peguam, merayu agar diberi hukuman yang rendah kerana perlu menanggung ibu bapa yang uzur.
Tertuduh difahamkan melunaskan denda tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!