Bot ditahan tangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan
MERSING - Sebuah bot pukat tunda ditahan setelah didapati menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan iaitu pada jarak 10.7 batu nautika dari Pantai Tanjung Sekakap, di sini pada Ahad.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Johor, Noraishah Hashim berkata, penahanan itu dibuat oleh Cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber, Jabatan Perikanan Negeri Johor yang membuat rondaan rutin pemantauan vesel di perairan Johor Timur.
Menurutnya, setelah mendekati bot berkenaan, pihaknya mendapati ia adalah vesel penangkapan ikan zon C dan mempunyai lima orang kru terdiri daripada seorang tekong dan empat awak-awak warga tempatan berusia dari 31 hingga 51 tahun.
"Ketika ditahan, mereka menjalankan aktiviti menangkap ikan (menunda) pada jarak sekitar 10.7 batu nautika daripada Pantai Tanjung Sekakap, Mersing.
"Terdapat hasil tangkapan bernilai sekitar 80 kilogram, seperti sotong dan ikan selar kuning yang turut disita.
"Bot berkenaan ditahan dan peralatan menangkap ikan disita serta disiasat di bawah seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!