Tertekan jiran bela 8 ekor anjing di rumah
SERDANG - Seorang lelaki meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan jirannya yang didakwa menjalankan aktiviti pembiakan anjing dalam kawasan rumah didakwa sejak lebih setahun lalu.
Pengadu berusia 49 tahun itu yang tinggal di Taman Lestari Perdana, Bandar Putra Permai Seri Kembangan di sini telah berkongsi video keadaan halaman belakang rumah jirannya itu yang terdapat beberapa ekor anjing yang diletakkan di dalam sangkar.
Dia mendakwa, sekurang-kurangnya lapan ekor anjing dipelihara jirannya itu yang jelas menyalahi Akta Kerajaan Tempatan 1976 berhubung jumlah pelesenan anjing dan rumah pembiakan anjing.
"Pemeliharaan anjing yang dibenarkan tidak lebih daripada dua ekor bagi premis yang mempunyai keluasan kurang 1,000 meter persegi atau tidak lebih empat ekor anjing bagi keluasan melebihi 1,000 meter persegi.
"Bagi rumah pembiakan anjing pula mestilah mendapatkan kebenaran atau persetujuan daripada penduduk setempat, tetapi saya tidak dimaklumkan aktiviti tersebut, saya tak pasti aktiviti itu dijalankan secara sah atau haram," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Katanya, selain terganggu dengan bunyi bising disebabkan nyalakan anjing yang menyalak tanpa mengira waktu, dia juga terpaksa menghidu bau busuk najis anjing yang datang dari dua rumah yang disewa oleh lelaki berkenaan.
"Bukan hanya pelihara anjing, dia turut jalankan perkhidmatan rumah anjing selain menjual anjing dan makanan haiwan berkenaan.
"Saya telah membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sejak Mac tahun lalu namun sehingga kini masalah tersebut belum selesai. Saya harap permasalahan ini diberikan perhatian," katanya.
Sementara itu, Sinar Harian telah menghubungi pihak MBSJ bagi mendapatkan maklum balas berhubung perkara tersebut.
Wakil pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan sedang membuat semakan berhubung aduan tersebut serta akan memberikan jawapan selepas siasatan dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!