Bersatu ulangi peringatan bahaya 'kluster mahkamah'
SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengulangi peringatannya terhadap bahaya sekumpulan ahli politik yang dipanggil ‘kluster mahkamah’.
Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, selain daripada ancaman wabak Covid-19, kumpulan tersebut yang berselindung di sebalik agama dan bangsa itu juga disifatkan sebagai musuh utama negara ketika ini.
“Di sebalik kewaspadaan kita mengenai Covid-19, terselit watak watak-watak oportunis yang terus berdrama mahu menimbulkan ketidakstabilan dalam politik negara.
“Siapa watak-watak terdesak itu? Mereka adalah watak yang sama pernah menyamun wang rakyat hingga sarat dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa ketika berkuasa dominan dahulu.
“Mereka jugalah antara pengkhianat bangsa yang sanggup menggadai kepentingan negara dan hak bumiputera serta muslim hingga Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal mencapai matlamatnya. Mereka ini kita kenali sebagai 'kluster mahkamah',” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, 'kluster mahkamah' itu menggunakan wadah ‘Ketuanan Melayu’ sebagai tirai untuk melindungi ketamakan dan kepentingan peribadi lingkungan mereka sama seperti modus operandi kartel projek yang dibanteras oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
“Walaupun ada yang telah dijatuhi hukuman bersalah kerana korupsi, kelompok 'kluster mahkamah' ini masih tebal muka berbicara soal agama dan bangsa.
“Mungkin kerana mereka yakin rakyat Malaysia khususnya orang Melayu boleh ditipu berulang kali dengan nada simpati dan provokasi isu-isu sensitif.
“Mereka mempropagandakan kononnya Melayu tiada pilihan lain untuk selamat kecuali berada di bawah cengkaman mereka kembali seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu,” kata beliau.
Mengulas mengenai situasi semasa penularan Covid-19, Muhammad Faiz berkata, kerajaan telah berusaha sebaik mungkin menangani wabak berkenaan.
“Segala teknologi terkini telah dan sedang digunapakai oleh pihak berkuasa bagi mengawal wabak ini dari terus merebak, katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!