Bayi melecur, ibu ambil tindakan mahkamah terhadap pusat jagaan
JOHOR BAHRU - Seorang ibu kesal dengan sikap lepas tangan pihak pengurusan sebuah pusat penjagaan ibu dan bayi yang mengakibatkan bayinya berusia 26 hari melecur belakang badan akibat terkena air panas.
Tan Xin Ping, 25, dari Taman Istimewa berkata, pengurus pusat penjagaan tersebut sebelum ini sudah berjanji akan membayar pampasan RM45,000 selama 12 bulan atas kecuaian seorang daripada pengasuhnya supaya kes tersebut tidak dibawa ke mahkamah.
Dia yang merupakan suri rumah berkata, pusat penjagaan tersebut bagaimanapun hanya membuat bayaran RM14,733 selama tiga bulan setakat Januari lalu sejak kejadian itu berlaku pada 26 Oktober 2020.
"Selama tiga bulan itu saya terpaksa menelefon pengurus pusat penjagaan itu meminta bayaran pampasan. Pusat jagaan itu seakan liat mahu bayar sedangkan ini adalah kecuaian mereka.
"Pada mulanya semasa kejadian, tiga pengasuh di pusat jagaan itu tidak mengaku menyebabkan anak lelaki saya melecur semasa memandikannya. Namun apabila saya buat laporan di Balai Polis Larkin pada hari yang sama, barulah seorang daripada pengasuh itu yang berusia 30-an mengaku," katanya.
Dia berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat MCA Bahagian Pasir Gudang di Taman Johor Jaya di sini pada Isnin.
Katanya, selepas kejadian tersebut dan dalam keadaan berpantang dia terpaksa membawa bayi sulungnya itu ke Hospital Pakar Puteri Johor Bahru sebelum ditahan dan mendapat rawatan selama empat hari.
Dia dan suami, Oon Yem Hao, 30, kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pusat penjagaan tersebut yang tidak segera membawa bayi mereka ke klinik atau hospital sejurus terkena air panas.
"Saya pergi ke pusat jagaan itu selepas membayar pakej berpantang di sana dan penjagaan bayi saya. Selepas kejadian ini saya terus meninggalkan pusat jagaan tersebut.
"Dalam perjanjian pusat jagaan itu setuju membayar RM45,000 iaitu sebagai pampasan, memulangkan semula bayaran pakej rawatan, kos rawatan di hospital sebelum ini termasuk kos rawatan susulan dan suntikan vaksin untuk bayi saya tetapi sejak Januari lalu tidak lagi membayarnya," katanya.
Justeru, dia dan suami nekad untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap pusat jagaan itu bagi memberi pengajaran selain menjadi lebih bertanggungjawab selepas ini termasuk memastikan insiden sama tidak berulang.
Sementara itu, Ketua Biro Aduan Awam MCA, Lim Thow Siang berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis perlu menyiasat sama ada pusat jagaan berkenaan mempunyai lesen untuk perkhidmatan tersebut.
Katanya, masalah itu perlu diberi perhatian serius walaupun kejadian itu dipercayai pertama berlaku di situ termasuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu untuk pusat penjagaan seperti itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!