Saya dipilih atas faktor merit, bukan kerana menantu
SEMENYIH - Calon PH bagi PRK DUN Semenyih, Muhammad Aiman Zainali menegaskan pemilihannya sebagai calon dibuat berdasarkan kelayakan merit dan bukannya atas hubungan kekeluargaan.
Menurutnya, pimpinan tertinggi Bersatu telah menetapkan beberapa kriteria tertentu yang perlu dimiliki seseorang itu sebelum boleh diambil menjadi calon.
“Mereka (pemimpin Bersatu) juga telah jelaskan yang saya dipilih bukan kerana saya menantu kepada penyandang kerusi ini (Bakhtiar Mohd Nor), tetapi terdapat beberapa kriteria yang ditetapkan.
“Saya melepasi kriteria itu berdasarkan kelayakan dan saya terpilih,” katanya kepada pemberita selepas menziarah kubur Allahyarham Bakhtiar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Baru di sini, hari ini.
Beliau mengulas kritikan pihak-pihak tertentu yang mempersoalkan pemilihannya sebagai calon dalam PRK Semenyih kerana hubungannya sebagai menantu kepada Allahyarham Bakhtiar.
Muhammad Aiman, 30, merupakan seorang jurutera yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah dalam Bidang Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Sementara itu, Muhammad Aiman yang meluangkan masa kira-kira 15 minit di tanah perkuburan itu berkata, Allahyarham Bakhtiar merupakan seorang yang sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam melakukan tugasnya walaupun dirinya kurang sihat.
“Memang Allahyarham kuat kerja sehingga dia sendiri tidak sedar yang dia sakit teruk malah semasa sakit pun beliau menyimpan perkara itu sendiri dan fokus pada kerja,” katanya.
PRK DUN Semenyih diadakan berikutan kematian Bakhtiar pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung. Pengundian awal PRK DUN Semenyih ditetapkan 26 Feb manakala pengundian 2 Mac.
PRK itu akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Muhammad Aiman, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Kuan Chee Heng (Bebas) dan Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!