Sindiket loteri haram guna taktik pindah-randah: Polis
KEPALA BATAS - Sebanyak 24 premis yang dipercayai menjalankan aktiviti perjudian loteri haram di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini diserbu dalam Ops Dadu Khas yang dijalankan pada Sabtu dan Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bagaimanapun dalam operasi yang melibatkan lima balai polis dalam daerah ini mengesan hanya tujuh premis yang masih beroperasi manakala selebihnya ditutup berikutan serbuan berterusan yang dilakukan sejak kebelakangan ini.
Kata Noorzainy, hasil siasatan mendapati sindiket loteri awam haram terpaksa berpindah-randah kerana takut aktiviti jenayah mereka dikesan oleh pihak berkuasa.
Menurutnya, dalam serbuan yang dilakukan itu, tujuh individu termasuk dua perempuan ditahan dan polis merampas wang tunai berjumlah RM568 termasuk peralatan digunakan untuk urusan loteri haram.
"Dalam ops sama kita menyerbu 13 buah premis yang menjalankan kegiatan perjudian dalam talian namun hanya sebuah premis beroperasi dan kita menahan seorang perempuan serta merampas wang tunai berjumlah RM130 daripadanya.
"Kesemua yang ditahan kini direman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 (A) (a) serta Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.
Noorzainy berkata, setakat ini sebanyak 65 premis yang menjalankan kegiatan perjudian tanpa lesen telah diambil tindakan pemotongan elektrik di bawah Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1966.
Katanya, polis akan meningkatkan lagi pemantauan bagi membanteras kegiatan judi loteri awam haram dan perjudian dalam talian bagi memastikan daerah SPU bebas daripada aktiviti tidak sihat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!