Rentas negeri yang lulus hanya dibenarkan Isnin hingga Khamis: PDRM

 Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan pergerakan rentas negeri yang diluluskan hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis sahaja.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan pergerakan rentas negeri yang diluluskan hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis sahaja.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan bahawa pergerakan rentas negeri yang diluluskan hanya dibenarkan pada Isnin hingga Khamis sahaja.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pergerakan pada hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad tidak akan diluluskan, namun ia tidak termasuk bagi urusan melibatkan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh.

"Pergerakan rentas negeri hanya dibenarkan bagi tujuan pekerjaan, kecemasan dan kematian yang hanya melibatkan ahli keluarga terdekat iaitu ibu bapa, anak dan adik-beradik sahaja; perubatan; pendidikan serta pasangan jarak jauh," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Acryl Sani berkata, pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial seperti menghadiri kenduri perkahwinan dan apa-apa jenis majlis jamuan adalah dilarang.

"Aturan ini akan berterusan sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri. Mana-mana pihak yang ingkar akan diambil tindakan tegas," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Acryl Sani berkata, semua ketua polis daerah dan pasukan pemantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) akan digerakkan ke semua lokasi bazar Ramadan dan pasar malam bagi memastikan masyarakat mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

"Sekiranya didapati SOP tidak dipatuhi, kita akan mengemukakan saranan kepada pihak berkuasa tempatan agar aktiviti perniagaan di kawasan-kawasan tersebut dihentikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!