Pemberian tanah Hutan Simpan: Pemuda Umno Perak lapor polis
IPOH - Pemuda Umno Perak meminta siasatan terperinci dibuat terhadap elemen-elemen meragukan dalam isu pemberian tanah Hutan Simpan Kledang Saiong dan Bukit Kinta seluas 400 hektar kepada sebuah syarikat.
Ketuanya, Mohd Arrif Abdul Majid berkata, siasatan tersebut perlu dilakukan kerana wujudnya unsur-unsur mencurigakan.
Menurutnya, ia termasuklah kenyataan meragukan oleh pihak kerajaan negeri Perak sebaik isu tersebut didedahkan kepada umum melalui media baru-baru ini.
"Kita mahu perkara ini disiasat betul-betul kerana beberapa kenyataan dilihat bercanggah dan dinafikan beberapa agensi berkaitan, malah kelulusan diberikan secara tender terus langsung tidak mencerminkan ketelusan yang dilaungkan dalam manifesto mahu sebarang tender perlu dibuat secara terbuka," katanya kepada pemberita, hari ini.
Mohd Ariff berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam, di sini.
Katanya, antara perkara yang memerlukan siasatan adalah laporan sebuah portal berita mendedahkan seorang Exco sebuah parti dalam PH didakwa terbabit dalam perjanjian penawaran konsesi kepada syarikat terbabit.
"Kenyataan penafian Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bahawa mereka tidak pernah menjalankan kerjasama dengan syarikat yang menerima konsesi itu juga mencetuskan tanda tanya.
"Lebih menghairankan lagi bagaimana syarikat berkenaan yang pada mulanya didaftarkan dengan modal berbayar sebanyak RM2 boleh menjadi RM500,000 setelah isu tersebut dibongkar media," katanya.
Katanya, perkara ini diharap mendapat perhatian pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang berniat jahat menjadikan khazanah hutan di Perak sebagai habuan politik.
"Laporan ini juga dibuat agar integriti kerajaan yang dipilih rakyat tidak dicemari dengan unsur-unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!