Serang jiran gara-gara najis burung merpati
BUKIT MERTAJAM - Hanya kerana air basuhan najis burung merpati masuk ke laman rumah menjadi punca pergaduhan antara dua jiran sehingga menyebabkan seorang wanita cedera di pipi akibat terkena senjata tajam dalam kejadian di Taman Permatang Tinggi Indah, di sini petang Isnin.
Kejadian berlaku jam 4.10 petang itu dikatakan bermula apabila suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan jirannya berusia 52 tahun yang sedang mencuci kesan najis burung merpati sebelum berlaku perang mulut antara mereka.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, suspek kemudiannya bertindak agresif dengan mengacukan sebilah sabit ke arah jirannya.
"Pergaduhan itu disedari anak perempuan lelaki berkenaan berusia 27 tahun sebelum dia bertindak menyelamatkan bapanya.
"Namun disebabkan pergelutan yang berlaku sabit tersebut terkena di bahagian pipi sebelah kirinya. Melihat mangsa yang tercedera suspek kemudian terus bertindak melarikan diri,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.
Shafee berkata, polis menerima laporan insiden itu daripada bapa mangsa bergegas ke tempat kejadian dan pemeriksaan dilakukan menemui sebilah sabit di hadapan rumah mangsa.
Katanya, mangsa dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Bagan, Butterworth untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
"Polis kini sedang mengesan suspek berusia 42 tahun yang juga seorang peniaga.
"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!