Polis bongkar taktik sindiket pelacuran guna gambar wanita cantik
KUALA LUMPUR - Taktik sindiket pelacuran menggunakan gambar wanita cantik untuk mempromosikan kegiatan itu di media sosial terbongkar susulan penangkapan tujuh wanita warga Vietnam di tiga premis di Kepong di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesemua wanita dipercayai pelacur berusia lingkungan 30-an itu ditahan dalam Op Noda pada jam 8.45 malam.
"Kita juga menahan dua penjaga premis warga tempatan berusia lingkungan 20-an dan 50-an, manakala sebuah lagi premis tiada penjaga,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, pada Isnin.
Eng Lai berkata, modus operandi sindiket pelacuran itu adalah mempromosikan kegiatan itu dengan memuat naik gambar wanita di media sosial termasuk MiChat dan Facebook.
“Siasatan awal mendapati sindiket itu mengenakan bayaran antara RM150 dan RM200 bagi setiap sesi.
"Pemeriksaan dilakukan terhadap semua wanita warga Vietnam mendapati mereka tidak memiliki pasport,” katanya.
Eng Lai berkata, pihaknya masih menyiasat samada tiga premis berkenaan adalah daripada sindiket sama.
“Semua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!