451,237 individu lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19: Dr Adham
KUALA LUMPUR - Seramai 451,237 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, setakat semalam (Isnin).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi tempoh sama, 726,411 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara ini kini berjumlah 1,177,648 dos.
Menerusi satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya hari ini, Dr Adham berkata lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 101,208 individu, diikuti Kuala Lumpur (80,978), Johor (70,999), Sarawak (70,592) dan Perak (60,384).
Lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 tertinggi setakat ini pula ialah Selangor dengan 64,306, diikuti Perak (48,926), Sabah (43,452), Kuala Lumpur (40,681) dan Sarawak (35,653).
Mengenai jumlah individu yang mendaftar untuk program imunisasi itu, Dr Adham berkata setakat semalam, seramai 9,048,237 atau 37.30 peratus daripada yang disasarkan telah mendaftar, dengan Selangor kekal mencatatkan angka tertinggi sebanyak 2,375,926 pendaftaran.
Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini, melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua yang bermula April hingga Ogos tahun ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya, manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 melibatkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!