Terpaksa beri anak OKU susu sejat kerana kesempitan hidup
PASIR MAS - Seorang ibu mengaku pernah beberapa kali memberikan anaknya, Muhamad Mustaqim Mustapha, 8, yang juga orang kurang upaya (OKU) dan menghidap penyakit saraf minum susu sejat bagi menggantikan susu formula khas ekoran kesempitan hidup.
Noor Aini Ya, 43, berkata, tindakan itu terpaksa diambil selepas tidak mampu untuk membeli susu tersebut susulan pendapatan suaminya, Mustapha Hussin, 52, yang bekerja sebagai buruh kasar tidak menentu ditambah pula dengan pandemik Covid-19 ketika ini.
"Setiap kali berdepan masalah kewangan saya terpaksa berbuat demikian.
"Harga susu formula itu sangat tinggi sekitar RM100 setin, jadi saya tidak mampu," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Che Dol, di sini pada Selasa.
Menurutnya, disebabkan situasi itu Muhamad Mustaqim terpaksa minum susu sejat walaupun ia kurang sesuai untuk tumbesaran.
Katanya, setiap kali terpaksa berbuat demikian dia akan menangis dan memohon maaf kepada Muhamad Mustaqim yang terpaksa mengharungi kepayahan tersebut.
Noor Aini berkata, anak kelima daripada enam beradik itu disahkan menghidap penyakit saraf sejak berusia lima bulan.
Katanya, Muhamad Mustaqim ada menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500 namun tidak cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan.
"Selain Mustaqim anak kedua saya, Muhamad Mukhzairi, 21, turut diuji dengan sakit buah pinggang sejak berusia lima tahun dan sekarang ini dia terpaksa berulang alik ke pusat hemodialisis untuk melakukan rawatan.
"Dia juga bergantung sepenuhnya kepada bantuan JKM RM300 sebulan yang diterima untuk meneruskan kehidupan dan rawatan," katanya.
Noor Aini berkata, dua lagi anaknya masih bersekolah manakala seorang lagi, Nur Syahira Izwani, 18, yang baru tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membantu dia menjaga Mustaqim di rumah.
Dia berkata, sekarang ini mereka sekeluarga banyak mengikat perut demi memastikan keperluan Mustaqim terutama lampin pakai buang dan susu tidak terputus bekalan.
Noraini berkata, bagaimanapun dia lega apabila anak sulungnya, Mohamad Mukhzani, 23, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Pulau Pinang turut membantu menghulurkan wang bagi meringankan beban.
Sebelum itu, keluarga Noor Ain menerima kunjungan daripada Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial Kelantan (KELSS) yang diketuai oleh Ketua Unit Komunikasi dan Media KELSS, Akidi Hamid.
Dalam kunjungan tersebut, KELSS menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,500 iaitu satu unit pendingin hawa, beg susu dan susu.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 03-0270207592-24 atas nama Noor Aini Ya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!