Ibu tergamak lepas 'gian' depan anak-anak

Anak bongsu wanita ini terpaksa dibawa bersama ke pejabat AADK Besut apabila menangis kerana tidak mahu berenggang dengan ibunya yang ditahan bersama teman lelaki dan lima lagi lelaki dalam serbuan AADK Besut, awal pagi Ahad. -Foto Ihsan AADK Besut
Anak bongsu wanita ini terpaksa dibawa bersama ke pejabat AADK Besut apabila menangis kerana tidak mahu berenggang dengan ibunya yang ditahan bersama teman lelaki dan lima lagi lelaki dalam serbuan AADK Besut, awal pagi Ahad. -Foto Ihsan AADK Besut
A
A
A

BESUT - Seorang ibu kepada tiga orang anak tergamak melepaskan gian pil kuda bersama teman lelakinya di hadapan anak-anak yang masih kecil, di salah sebuah bilik di rumah keluarganya di Kuala Besut, di sini awal pagi Ahad.

Perbuatan wanita berusia 24 tahun yang masih berstatus isteri itu terbongkar apabila ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Besut selepas rumah keluarganya diserbu kira-kira jam 1 pagi.

Ketua Pegawai AADK Besut, Noor Hafizza Mat Zin berkata, selain wanita dan teman lelakinya, 30, turut ditahan lima lagi lelaki berusia antara 20 hingga 43 tahun di beberapa lokasi di sekitar daerah ini, kira-kira jam 1 pagi sehingga 11 pagi.

"Semasa ditahan, wanita dan pasangan kekasihnya berada di dalam satu bilik bersama anak-anak yang masing-masing berusia 5 dan 3 tahun manakala yang paling bongsu berusia 10 bulan.

"Siasatan mendapati wanita itu masih berstatus isteri dan dalam proses perceraian tetapi berani membawa teman lelakinya ke dalam rumah tanpa disedari ahli keluarga.

"Wanita itu mengaku mengambil pil kuda sejak empat tahun lalu selepas terpengaruh dengan suaminya dan sudah ketagihan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Noor Hafizza, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua yang ditahan positif pil kuda dan mereka kini ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!