Budak terperangkap dalam kereta
TANJUNG MALIM - Anggota bomba menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap hampir 20 minit di dalam sebuah kereta berkunci berhampiran sebuah stesen minyak di Kampung Bedrock, di sini pada Selasa.
Difahamkan kanak-kanak berusia setahun enam bulan itu bertindak menekan sendiri kunci pintu kereta jenis Perodua Kancil terbabit dari dalam ketika ibunya berada di luar.
Ketika kejadian sekitar jam 8 pagi itu, enjin kenderaan dalam keadaan hidup dan kanak-kanak itu sedang bermain sendirian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim, Mohd Zairul Fahmi Mohd Nazari berkata, panggilan kejadian itu diterima pihaknya pada jam 8.27 pagi.
Menurutnya, operasi mengeluarkan mangsa segera dijalankan dengan menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kereta.
"Anggota mengambil masa lebih kurang 10 minit sebelum kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan dengan selamat.
"Kita dimaklumkan pintu kereta itu dikunci sendiri oleh kanak-kanak tersebut dari dalam dan dia terperangkap selama 20 minit di dalam kenderaan sebelum bomba dimaklumkan kejadian itu," katanya.
Kanak-kanak itu kemudiannya diserahkan kepada ibunya dan operasi tamat pada jam 8.45 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!