Peluncur cedera parah diserang jerung
SYDNEY - AUSTRALIA. Seorang peluncur berusia 41 tahun terpaksa diterbangkan ke hospital pada Ahad selepas dia dibaham jerung di Teluk Byron, Australia.
Mangsa sedang bermain luncur ombak di pantai Belongil ketika insiden itu berlaku.
Papan luncur lelaki terbabit turut digigit haiwan tersebut.
"Saya terkejut selepas terdengar jeritannya. Kemudian, saya melihat papan luncurnya terapung dan saya mula sedar satu perkara buruk telah berlaku," kata rakannya.
Mangsa berjaya kembali ke tepi pantai dan dirawat di lokasi kejadian oleh paramedik sebelum diterbangkan ke Hospital Universiti Gold Coast.
Dia dilaporkan cedera parah, namun keadaannya stabil.
Menurut data dikumpulkan Zoo Taronga, terdapat 27 serangan jerung termasuk satu kes kematian dilaporkan di perairan Australia pada tahun lalu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!