Kanak-kanak maut tertusuk pisau

Supian mengangkat jenazah anaknya untuk dibawa pulang sebelum dikebumikan esok.
Supian mengangkat jenazah anaknya untuk dibawa pulang sebelum dikebumikan esok.
A
A
A

IPOH - Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia akibat tertusuk pisau di rumahnya di Teluk Pial Baroh, Kuala Kurau, hari ini.

Mangsa, Nur Qaisara Medina disahkan meninggal dunia di Hospital Parit Buntar sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, kanak-kanak tersebut terpijak pinggan sebelum pisau sepanjang kira-kira 15cm yang berada di dalam pinggan tersebut tertusuk bahagian kiri perut.

Ibu mangsa, Norfarhana Mazlan, 27, berkata, ketika kejadian kesemua anaknya dan kedua mertuanya ada di dalam rumah.

"Arwah masa itu nak susu tapi saya minta dia tunggu sekejap sebab tengah dodoikan anak yang bongsu.

"Kemudian arwah nak pergi kepada ibu mertua saya, masa itu dia terjatuh dan menangis. Saya terus pangku dan menggosok perutnya sebelum perasan ada pisau tertusuk di perut," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik HRPB, Ipoh, di sini, hari ini.

Katanya, pisau tersebut asalnya digunakan oleh anak lelakinya untuk memotong mempelam.

Supian kelihatan sugul bersama Norfarhana ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB.
Supian kelihatan sugul bersama Norfarhana ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB.

Artikel Berkaitan:

Norfahana yang juga suri rumah berkata, disebabkan panik, ibu mertuanya mengeluarkan pisau itu dan kemudiannya arwah tidak sedarkan diri.

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke klinik berhampiran sebelum dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk menerima rawatan.

Sementara itu, bapa mangsa, Supian Samsuri, 42, berkata, anak keempatnya itu seorang yang periang dan suka mengusik abang dan kakaknya.

Katanya, namun kebelakangan ini sikap Nur Qaisara Medina sedikit berlainan apabila selalu ingin bersamanya dan duduk di atas riba.

"Kami panggil dia Sara. Sebelum ini memang dia paling aktif di rumah. Suka kacau kakak dan abang-abangnya.

"Tapi saya perasan sejak kebelakangan ini dia selalu nak duduk atas riba sebab sebelum ini dia tak kisah pun," katanya.

Dia yang bekerja sebagai pemandu jentera berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja dan hanya dimaklumkan kejadian selepas anaknya dihantar ke hospital.

Supian membawa jenazah Nur Qaisara Medina menaiki kereta polis selepas bedah siasat dijalankan di HRPB.
Supian membawa jenazah Nur Qaisara Medina menaiki kereta polis selepas bedah siasat dijalankan di HRPB.

Menurutnya, selain Qaisara Medina, dia mempunyai empat lagi anak iaitu Muhammad Afiq, 9; Muhammad Amin Al-Mu'min, 7; Nur Diana Balqis, 4, dan Nu'ur Shafiyyah Aqilah, 4 bulan.

Jenazah Allahyarham selesai dibedah siasat kira-kira jam 7 malam dan dibawa pulang menaiki kenderaan polis.

Mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Pial, Kuala Kurau pagi esok.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan katanya kes masih dalam siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!