Lajim bubar Harapan Rakyat demi Bersatu
KOTA KINABALU - Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) akan dibubarkan dan seramai 64,000 ahlinya akan menyertai Bersatu yang bakal memasuki Sabah tidak lama lagi.
Presidennya, Datuk Lajim Ukin berkata Persidangan Agung Luar Biasa (EGM) akan diadakan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada langkah itu.
Menurutnya, meskipun langkah mengorbankan parti itu tidak mudah namun ia lebih baik daripada terus bertahan namun tidak dapat menyumbang kepada negeri dan negara.
“Bukan mudah untuk mengambil keputusan membubarkan parti kerana kita sayang parti ini.
“Namun, kita kena fikir masa depan, tiada maknanya jika ia tidak dapat menyumbang, jadi lebih baik kita berkorban ke arah yang lebih baik,” katanya memetik laporan sebuah akhbar, hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan Bersatu akan melebarkan sayap ke Sabah meskipun ia tidak disenangi sekutunya, Warisan.
Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal Shafie beberapa kali menegaskan Bersatu perlu terus berpegang kepada janji untuk tidak melebarkan sayap ke Sabah seperti dipersetujui sebelum PRU14.
Dalam pada itu, Lajim menyerahkan kepada Dr Mahathir untuk memutuskan siapa yang akan memimpin Bersatu di Sabah.
“Kami ada bertemu dengan Datuk Hajiji Noor (bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah) dan setuju bekerjasama menerusi Bersatu. Soal kepemimpinan terserah kepada Dr Mahathir,” katanya.
Katanya, kemasukan Bersatu ke negeri itu tidak akan menjejaskan parti komponen PH yang lain termasuk Warisan malah tidak timbul isu Bersatu sebagai parti luar.
Tambahnya, Sabah masih memerlukan parti dari Semenanjung untuk mengukuhkan kedudukan kerajaan seperti Warisan yang menjalin kerjasama dengan DAP dan PKR bagi membentuk kerajaan negeri pada PRU14 lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!