Dua wanita ditahan dera amah
KUALA LUMPUR - Dua wanita termasuk seorang warga Indonesia ditahan kerana disyaki mendera seorang wanita yang bekerja sebagai pembantu rumah di Taman Rainbow di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, suspek berusia 38 dan 42 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian D3 Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman pada jam 1 pagi.
"Beberapa alatan seperti rotan, kayu dan besi yang dipercayai telah digunakan untuk mendera mangsa turut dirampas," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Eng Lai berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang juga warga Indonesia berusia 24 tahun itu mengalami kesan kecederaan dan lebam pada beberapa bahagian badan iaitu di muka, kepala, bahu, leher serta kaki akibat didera oleh majikan dan dibantu oleh rakan sekerjanya.
"Mangsa mendakwa dia sudah 16 bulan bekerja sebagai pembantu di rumah majikan tersebut dan tidak dibayar gaji selama satu tahun.
"Mangsa dipercayai didera akibat daripada kesalahan yang dilakukan semasa menjalankan tugasan harian," katanya.
Dalam pada itu, Eng Lai berkata, pihaknya telah memohon 'Interim Protection Order' dari mahkamah dan mangsa kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Wanita di Damansara.
"Kedua-dua suspek telah ditahan reman selama enam hari bermula Isnin hingga Sabtu untuk siasatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, kertas siasatan akan dirujuk ke Ketua Bahagian Pendakwaan Putrajaya setelah dilengkapkan dan kes telah diklasifikasikan mengikut Seksyen 12 dan 13 ATIPSOM 2007.
Justeru, Eng Lai menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur.
"Tindakan tegas berlandaskan undang-undang yang sedia ada akan diambil terhadap individu-individu yang melanggar undang-undang ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!