Sindiket tawar kerja sambilan untuk perdaya mangsa

Muhammad Yazid
Muhammad Yazid
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor mengesan modus operandi terkini sindiket penipuan yang menggunakan platform e-dagang sebagai medium untuk memperdaya mangsa dengan menawarkan kerja sambilan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, pihaknya telah membuka 23 kertas siasatan membabitkan sindiket penipuan ini dengan kerugian RM219,271.15.

Menurutnya, modus operandi sindiket ini ialah menyamar sebagai ejen untuk mencari pekerja sambilan bagi platform e-dagang dengan cara memberikan beberapa tugasan dan menjanjikan keuntungan sebanyak lapan hingga 15 peratus setelah melengkapkan tugasan tersebut.

"Taktik sindiket adalah mangsa akan menerima satu pesanan menerusi WhatsApp yang menawarkan kerja sambilan dan pautan dari nombor telefon tidak dikenali.

"Setelah mangsa menekan pautan tersebut, pihak sindiket akan menawarkan kerja sambilan sebagai 'online purchasing agent' di mana mangsa akan menerima satu gambar barang di dalam laman e-dagang berkenaan.

"Sindiket akan mengarahkan mangsa membayar harga barangan yang tertera di dalam gambar seperti mana dalam pesanan WhatsApp. Pembayaran itu akan terus dibuat ke dalam akaun sindiket tanpa melalui platform e-dagang terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, sindiket kemudian menerangkan kepada mangsa tujuan pembayaran barang di dalam tugasan itu bukanlah untuk pembelian tetapi bertujuan untuk menaikkan rating barangan tersebut di platform e-dagang.

"Mangsa akan menerima semula kos barangan yang dibayar sebelum ini dengan pulangan komisen sebanyak lapan hingga 15 peratus.

"Kebiasaannya bagi tujuan pertama dan kedua, mangsa akan menerima semula pulangan kos yang dibayar berserta komisen seperti yang dijanjikan.

Artikel Berkaitan:

"Akan tetapi apabila masuk tugasan ketiga dan seterusnya sindiket akan berdolak-dalih untuk membuat bayaran seperti yang dijanjikan dan akhirnya sindiket gagal dihubungi," jelasnya.

Justeru, Polis Selangor menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika berurusan mencari pekerjaan sambilan terutama melalui sistem dalam talian.

"Orang ramai boleh membuat semakan melalui aplikasi semak mule atau melalui laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi sebarang urusan melibatkan akaun bank dan nombor telefon sebelum melakukan sebarang transaksi bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!