600,000 individu OKU berdaftar di seluruh negara: Ras Adiba

Ras Adiba ketika melawat Pusat Penjagaan Persatuan Autisme Labuan di Kampus Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah Labuan (UMSKAL) hari ini. Foto Bernama
Ras Adiba ketika melawat Pusat Penjagaan Persatuan Autisme Labuan di Kampus Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah Labuan (UMSKAL) hari ini. Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Terdapat kira-kira 600,000 individu yang dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) telah mendaftar dengan agensi kerajaan berkaitan setakat ini, dengan jumlah kanak-kanak yang menghidap Kecelaruan Spektrum Autisme (ASD) dan masalah pembelajaran kini berjumlah 204,000 orang, kata Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

"Namun, kita percaya jumlahnya mungkin lebih ramai kerana masih ada ibu bapa di luar sana yang belum mendaftarkan anak-anak (istimewa) mereka, memandangkan 15 peratus daripada populasi penduduk mungkin dikategorikan sebagai OKU," katanya yang juga Presiden OKU Sentral.

Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah mengunjungi Pusat Penjagaan Persatuan Autisme Labuan di Kampus Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah Labuan (UMSKAL) di sini pada Selasa.

Justeru, beliau mengingatkan ibu bapa yang mempunyai sikap 'sindrom penafian' untuk menerima kenyataan dan mendaftarkan anak-anak mereka yang mengalami ASD atau masalah berkaitan ketidakupayaan pembelajaran seperti masalah Kecelaruan Hiperaktif dan Kurang Daya Tumpuan (ADHD) serta disleksia dengan agensi kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, agar bantuan dan perhatian sewajarnya dapat diberikan.

“Saya berharap pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) atau badan kebajikan swasta dapat menyokong penubuhan pusat intervensi awal seperti pusat jagaan kanak-kanak dengan Kecelaruan Spektrum Autisme melalui program kolaborasi dengan badan kerajaan yang berkaitan.

Kini, katanya terdapat ibu bapa yang tidak dapat menghantar anak-anak autistik dan anak istimewa mereka ke pusat intervensi awal kerana kapasiti yang terhad di pusat berkenaan.

"Oleh kerana bilangan kanak-kanak autistik yang tidak berdaftar mungkin lebih tinggi, kita mesti berusaha meningkatlkan jumlah pusat intervensi awal di seluruh negara, saya berharap sektor korporat dapat memainkan peranan mereka dalam isu ini," kata Ras Adiba.

Beliau berkata kerajaan serius dalam menangani masalah kanak-kanak bermasalah pembelajaran dan Jabatan Kebajikan Masyarakat mempunyai dana untuk membantu anak-anak ini menjalani terapi tertentu agar mereka dapat berdikari. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!