Kantoi beli nasi 'anak'
SUNGAI PETANI - Seorang pekerja buruh memberi alasan terpaksa membeli makanan untuk anak ketika diserbu penguatkuasa dekat sebuah gerai di Taman Ria Jaya kira-kira jam 12 tengah hari pada Selasa.
Alasan lelaki berusia 33 tahun itu bagaimanapun 'kantoi' apabila rakannya yang menunggu di dalam kereta akhirnya 'lesap' setelah menyedari berlaku serbuan.
Dia akhirnya mengaku membeli makanan kerana penat bekerja dan bercadang untuk makan dalam kereta bersama rakan lain.
Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Syeikh Mohd Noor Ismardi Ismail berkata, lelaki terbabit diberi notis dan diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah (PAD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke lokasi seterusnya mendapati sebuah kedai makan turut menyediakan makanan kepada pelanggan tanpa segan silu dengan menampal nombor telefon di luar kedai bagi memudahkan tempahan.
"Biarpun kedainya agak terpencil serta nampak seperti ditutup, tetapi setelah diperiksa, didapati beberapa wanita di dalamnya sedang memasak selain terdapat lauk yang telah berkurangan disyaki telah dijual lebih awal kepada pelanggan," katanya.
Mohd Noor Ismardi berkata, wanita berusia 50-an itu memberi alasan menyediakan makanan untuk pekerja kilang bukan Islam namun terpaksa menjual kepada kaki ponteng puasa apabila mereka datang membeli.
Sebelum itu, pasukan penguatkuasa telah menyerbu ke sebuah kedai kopi milik bukan Islam yang terletak di Jalan Petri dan menemui beberapa lelaki sedang berbual di meja makan, kira-kira jam 11 pagi.
Pemerhatian lanjut turut mendapati terdapat beberapa gelas minuman berisi air berada di atas meja sama, namun ketika disoal, mereka menafikan gelas terbabit milik mereka dan menjelaskan berada di situ bukan untuk minum sebaliknya hanya bersembang bersama rakan.
Dalam operasi sama, seorang lelaki dilihat 'tidur' di satu ruang berdekatan dapur, sementara beberapa individu lain melarikan diri ketika anggota penguatkuasa menyerbu sebuah kedai makan di Taman Sutera.
Hasil pemeriksaan di bahagian dapur juga menemui beberapa bungkusan nasi dan lauk yang belum sempat dijual kemungkinan milik pelanggan yang lari.
Lelaki terbabit kemudian memberi alasan mahu berehat sebentar setelah dikejutkan selain pemilik premis diberikan notis untuk hadir ke PAD Kuala Muda.
Sementara itu, Mohd Noor Ismardi berkata, notis dikeluarkan mengikut Seksyen 14(a) Enakmen Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana tidak menghormati bulan Ramadan.
Operasi disertai 38 anggota penguatkuasa termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah, PAD Kuala Muda, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Cawangan Penyiasatan Khas dan NGO Skuad Badar.
MPSPK turut mengeluarkan empat kompaun kepada peniaga kerana didapati menjalankan perniagaan sebelum jam 3 petang di bulan Ramadan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!