Kerajaan perluas perlindungan kepada pekhidmat rumah tangga

Saravanan (dua dari kanan) ketika sidang media pada Majlis Iftar Perkeso.
Saravanan (dua dari kanan) ketika sidang media pada Majlis Iftar Perkeso.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada pekhidmat rumah tangga yang membabitkan pekebun, pemandu peribadi dan pembantu rumah di seluruh negara bermula 1 Jun ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, seramai 104,400 pekhidmat rumah tangga yang terdiri daripada 15,000 warganegara dan pemastautin tetap serta 89,400 warga negara asing dijangka mendapat manfaat daripada perluasan perlindungan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

"Kadar bayaran caruman oleh majikan dan pekerja akan mengikut kadar caruman semasa yang terpakai di bawah Akta 4 dan Akta 800.

"Perluasan ini membolehkan pekhidmat rumah tangga yang selama ini terkecuali daripada Akta 4 dan Akta 800 mendapat perlindungan keselamatan sosial sama seperti golongan pekerja lain.

"Dalam masa yang terdekat, Perkeso akan melaksanakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi menjelaskan langkah ini sebelum dilaksanakan," katanya pada sidang media ketika Majlis Iftar Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di ibu negara pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Dalam pada itu Saravanan berkata, pada tahun lalu, Perkeso telah membayar faedah berjumlah RM4.25 bilion berbanding RM4.2 bilion pada tahun 2019 dan RM3.8 bilion pada 2018.

Katanya, jumlah ini adalah peningkatan daripada RM3.6 bilion pada tahun 2017 dan RM3.3 bilion pada tahun 2016.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap orang ramai khususnya golongan pekerja sedar kepentingan mencarum dengan Perkeso.

"Walaupun jumlah caruman yang dibuat setiap bulan tidaklah sebesar mana, namun caruman inilah yang akan membantu mereka sekiranya ditimpa musibah termasuk kehilangan pekerjaan," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!