'Tak adil bandingkan Speedy Tigers dengan Jepun, Great Britain'
PENGURUS skuad hoki lelaki negara, Datuk Mirnawan Nawawi menegaskan adalah tidak adil untuk menghukum The Speedy Tigers selepas tewas kepada Jepun dan Great Britain dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.
Sebaliknya bekas kapten skuad kebangsaan itu berkata, matlamat utama perlawanan persahabatan tersebut adalah untuk melihat tahap prestasi skuad kendalian Arul Selvaraj berkenaan sebagai persediaan kejohanan pada masa depan.
“Kita tidak boleh bandingkan apple to apple bersama dengan pasukan Great Britian dan Jepun kerana ini perlawanan antarabangsa pertama Speedy Tigers selepas satu tahun empat bulan.
“Great Britain dan Jepun pula seperti semua sedia maklum 85 ke 90 peratus sudah bersedia untuk ke Sukan Olimpik sebaliknya skuad negara sudah lama tidak dapat menjalani latihan dengan sempurna kerana pandemik Covid-19
“Tahun Ini kali pertama kita dapat mengumpulkan semua pemain-pemain negara, sempat juga berlatih dua hari sebelum aksi pertama persahabatan menentang Jepun,” katanya dalam rakaman audio dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kepada media pada Selasa.
Jelas Mirnawan lagi, menerusi perlawanan persahabatan ini juga membolehkan pembentukan pasukan sebagai persediaan mengharungi kejohanan seperti Kejuaraan Trofi Juara-Juara Asia pada Oktober diikuti Piala Asia hujung tahun ini atau Januari 2022 yang juga platform layak ke Piala Dunia.
“Biarpun kita tewas kepada Great Britain 1-3, namun dalam kalangan pemain berjaya menunjukkan peningkatan sebagai contoh kita dapat empat pukulan sudut penalti dan berjaya jaring satu gol.
“Department tersebut berjaya menunjukkan peningkatan selain kita juga mendapat peluang untuk menjaringkan gol yang perlu diperbaiki lagi pada masa depan.
“Pemain-pemain juga menujukan mereka memiliki karakter, disiplin dan komited dalam mengharungi proses jangka panjang ini selain peningkatan prestasi dalam kalangan pemain muda seperti Akhimullah Anuar Esook dan Shello Silverius ketika menentang Great Britain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!