Tiga hakim putuskan rayuan Najib

Najb tiba di mahkamah bagi pendengaran rayuannya terhadap sabitan dan hukuman berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International di Mahkamah Rayuan hari ini. - Foto Bernama
Najb tiba di mahkamah bagi pendengaran rayuannya terhadap sabitan dan hukuman berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International di Mahkamah Rayuan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANJANG enam hari, dari Isnin 5 April hingga Selasa 13 April lalu, pasukan peguambela Datuk Seri Najib Razak telah mengemukakan hujah kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan (Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera) mengapa anak guam mereka wajar dibebas dan dilepaskan.

Mulai Rabu 14 April pula, tiba giliran pasukan peguam responden membuat hujah balas bagi meyakinkan panel hakim sebaliknya - bahawa sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atas Najib oleh hakim bicara Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 28 Julai 2020 itu wajar dikekalkan, dan rayuannya ditolak.

Prosiding jenayah melibatkan mantan Perdana Menteri Malaysia itu mula pada 3 April 2019 dan berlangsung selama 57 hari, melibatkan 76 saksi dari kedua-dua pihak (pendakwaan dan pembelaan).

Peguambela Najib, Tan Sri Shafee Abdullah, memanggilnya sebagai The trial of the century (kes terbesar pada kurun ini).

Pada akhir prosiding, hakim bicara Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah mensabitkan kesalahan Najib dan menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda RM210 juta.

Walau bagaimanapun, sementara menunggu kes itu didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan, hakim bicara telah menangguhkan hukuman penjara dan denda itu, tetapi Najib dikehendaki mengemukakan jaminan RM2 juta kepada mahkamah.

Bagi pihak perayu (Najib), Shafee telah mengemukakan 307 alasan mengapa anak guamnya wajar dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan.

Hujah bertulisnya meliputi 2,500 halaman, manakala hujah Pendakwa Raya (responden) meliputi 1,100 halaman.

Artikel Berkaitan:

Penghakiman bertulis Hakim Mohd Nazlan meliputi 801 halaman dan semua ini perlu dibaca dengan teliti dan diberi pertimbangan sepenuhnya oleh ketiga-tiga Hakim Mahkamah Rayuan.

Selain meneliti ribuan halaman dokumen bertulis itu, mereka juga dikehendaki mendengar hujah lisan pasukan peguambela Najib (ini selesai pada Selasa 13 April lalu).

Selepas itu hujah lisan pasukan pendakwaan (mulai Rabu 14 April), dijangka berterusan hingga minggu ini.

Dalam rayuan itu, Najib diwakili juga (selain Shafee) oleh Harvinderjit Singh dan Farhan Read, manakala pasukan pendakwaan (responden) dianggotai oleh Datuk V. Sithambaram, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul, Donald Joseph Franklin dan Sulaiman Koh Abdullah.

Apabila prosiding bermula pada 5 April lalu, Shafee segera mempersoal keputusan hakim bicara mensabitkan anak guamnya.

Shafee berkata mengikut pengalamannya selama 40 tahun (sebagai timbalan pendakwa raya dan kemudian sebagai peguambela), lazimnya hakim yang berpengalaman sahaja yang dilantik menjadi hakim bicara dalam kes-kes jenayah yang berat atau rumit.

Dalam kes Najib itu, hakim bicara yang dilantik adalah seorang yang tidak ada pengalaman mendengar kes-kes jenayah.

Sebagai contoh, kata Shafee lagi, dalam kes rasuah melibatkan Datuk Harun Idris (mantan Menteri Besar Selangor) pada tahun 1977, prosiding dikendalikan oleh Hakim Raja Azlan Shah, manakala dalam kes Anwar Ibrahim (mantan Timbalan Perdana Menteri), prosiding dikendalikan oleh Hakim Eusoffee Abdoolcader.

Kedua-dua hakim kanan itu pada ketika itu 'turun' dari Mahkamah Persekutuan untuk bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi mendengar kes-kes tersebut.

Disebabkan kurang pengalamannya, dakwa Shafee, Hakim Mohd Nazlan telah melakukan kesilapan demi kesilapan.

Beliau kemudian ditegur oleh Hakim Datuk Karim yang memintanya memperincikan di mana hakim bicara itu telah melakukan kesilapan.

Shafee menjelaskan bahawa semasa Nazlan memanggil Najib membela diri di penghujung kes pendakwaan pada 11 November 2019, hakim bicara itu menyatakan secara lisan bahawa pihak pendakwa telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap anak guamnya.

Bagaimana pun, dalam penghakiman bertulisnya setelah mensabitkan Najib, hakim bicara telah menyatakan beberapa alasan tambahan kenapa tertuduh dipanggil membela diri.

Shafee berhujah bahawa apa yang Nazlan lakukan sebagai hakim bicara adalah 'menambah lagi' (augmenting further) alasan-alasan awalnya yang tidak disebutkan ketika dia memutuskan ada kes prima facie dan memerintahkan Najib membela diri.

Perbuatan begini tidak boleh dilakukan oleh hakim bicara, hujahnya lagi. Kesilapan begini tidak akan dilakukan oleh seorang hakim jenayah kanan (senior criminal judge), dakwanya lagi.

Shafee juga berhujah bahawa selepas Nazlan mendapati ada kes prima facie berasaskan satu 'hal perkara' (a set of matters), hakim bicara itu kemudian mensabitkan Najib berasaskan satu 'hal perkara yang lain' (a different set of matters).

Tindakan hakim bicara ini seumpama 'mengalihkan tiang gol' (akin to shifting the goal post) terhadap kes anak guamnya, kata Shafee lagi.

Hakim bicara tidak sepatutnya menokok-tambah alasan-alasannya sewaktu mendengar kes pembelaan.

Dalam hujahnya bagi pihak pendakwaan pula, Sithambaram berkata, Mahkamah Rayuan wajar mengekalkan sabitan dah hukuman ke atas Najib kerana ada keterangan yang jelas menunjukkan Najib ada kepentingan peribadi dalam SRC apabila dia mempengerusikan dua mesyuarat Jemaah Menteri yang menimbangkan dan meluluskan permohonan mendapatkan Jaminan Kerajaan (government guarantee, GG) berhubung pinjaman RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kepada SRC.

Sithambaram juga berhujah bahawa Najib terlibat dalam hal ehwal SRC sebelum syarikat itu ditubuhkan dan ada keterangan yang meyakinkan bahawa Najib ada kuasa kawalan (control) ke atas Lembaga Pengarah SRC.

Keterangan saksi daripada pengarah-pengarah SRC menunjukkan bahawa Najib ada kuasa 'lantik dan pecat' (hire and fire) ke atas mereka.

Sithambaram menambah bahawa Najib menjadikan SRC seperti akaun bank peribadinya (personal bank account), sambil merujuk kepada tiga pemindahan wang SRC bernilai RM5 juta, RM10 juta dan RM27 juga menerusi Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

SRC, yang pada awalnya adalah anak syarikat 1MDB, kemudian menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan. Selain menjadi perdana menteri, Najib juga menjadi menteri kewangan, penasihat SRC dan ketua lembaga penasihat 1MDB.

Prosiding rayuan itu dijadual bersambung pada 19 April hingga 22 April depan. Sama-samalah kita tunggu bagaimana tiga Hakim Mahkamah Rayuan ini nanti akan memutuskan masa depan Najib.

*Datuk Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!