Masyitah, Eizat pasang impian jadi jaguh badminton negara

Peserta Bentong Badminton Champ 2021 bergambar kenangan selepas majlis penutup dan penyampaian sijil di Dewan Serbaguna Kampung Kuala Repas, Chamang Bentong.
Peserta Bentong Badminton Champ 2021 bergambar kenangan selepas majlis penutup dan penyampaian sijil di Dewan Serbaguna Kampung Kuala Repas, Chamang Bentong.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] Mulanya bermain badminton sekadar mengisi masa lapang, namun lama kelamaan dua beradik dari Sekolah Kebangsaan Tuanku Fatimah, Bentong ini memasang impian untuk menjadi jaguh badminton satu hari nanti.

Begitulah minat mendalam Eisya Masyitah Azman Junaidi, 11 dan Eizat Mikhail Azman Junaidi, 8, terhadap sukan badminton setelah menceburi sukan ini seawal usia mereka.

Masyitah berkata, selepas melihat pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia menjuarai Kejohanan All England 2021 baru-baru ini, dia turut memasang impian untuk menjadi pemain hebat untuk negara satu hari nanti.

Dia berkata, kehebatan Zii Jia membenam pemain Denmark, Viktor Axelsen di final All England 2021 menjadi pencetus semangatnya untuk berlatih bersungguh-sungguh walaupun masih baharu mempelajari badminton.

"Kejayaan luar biasa Zii Jia ini juga memberi inspirasi kepada saya dan juga adik supaya sentiasa yakin kepada diri sendiri, berdisiplin dan tidak cepat putus asa untuk mencapai sesuatu.

"Keluarga juga sentiasa memberi sokongan penuh kepada kami untuk berjaya dalam sukan selain cemerlang dalam akademik," kata anak sulung dari tiga beradik ini.

Masyitah (kiri) dan Eizat rakam kenangan bersama jurulatih ARC, Mohd Syairi selepas majlis penutup dan penyampaian sijil Bentong Badminton Champ 2021 di Dewan Serbaguna, Kampung Kuala Repas, Chamang Bentong.

Masyitah juga berharap dapat mewakili sekolahnya sehinggalah peringkat tertinggi seperti Zii Jia satu hari nanti.

Artikel Berkaitan:

Berbeza dengan adiknya pula, Eizat berkata, dia meminati kehebatan pemain nombor satu Jepun, Kento Momota.Katanya, dia selalu melihat Momota di televisyen berada di pentas final sebelum ini dan mahu meniru gaya permainan pemain nombor satu dunia itu.

"Saya suka melihat pergerakan kaki Momota seperti rama-rama dalam gelanggang selain dia tenang melakukan pukulan.

"Kalau boleh saya mahu beraksi seperti dia dan menjadi hebat seperti Momota," katanya yang memasang impian mengharumkan nama Malaysia dan turut menjadikan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sebagai idolanya.

Masyitah dan Eizat sebelum itu menerima sijil masing-masing selepas menamatkan Bentong Badminton Champ 2021 di Dewan Serbaguna Kampung Kuala Repas, Chamang, Bentong, baru-baru ini.

Majlis penutup dan penyampaian sijil disampaikan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Bentong (Unit Pembangunan Bakat Murid), Suhairi Samsuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Chamang Baru/ Kuala Repas, Khairuddin Mohamad Yusof.

Program edisi kedua itu berlangsung sembilan hari dari 27 Mac hingga 4 April anjuran Adni Racquet Club (ARC) bersama JKKK Kuala Repas/Chamang Baru dan Kelab Badminton Chamang (Baru).

Seramai 26 peserta sekitar daerah Bentong menyertai program ini diberi pendedahan asas, kemahiran dan teknik badminton menerusi jurulatih ARC, Mohd Syairi Mohamad Shaari.

Suhairi menyampaikan sijil kepada peserta Bentong Badminton Champ 2021, Muhammad Aliff Jamil, 11, disaksikan Khairuddin (kiri) di Dewan Serbaguna Kampung Kuala Repas, Chamang Bentong.
Suhairi menyampaikan sijil kepada peserta Bentong Badminton Champ 2021, Muhammad Aliff Jamil, 11, disaksikan Khairuddin (kiri) di Dewan Serbaguna Kampung Kuala Repas, Chamang Bentong.

Sementara itu, Suhairi yang hadir menyampaikan sijil kepada peserta berkata, pihak PPD Bentong turut menyokong program dalam pencarian bakat dan pelapis sukan badminton.

Beliau berkata, pihaknya gembira apabila ada pihak seperti ARC mengadakan program latihan badminton malah mendapat sambutan baik murid-murid sekitar sekolah di Bentong.

"PPD Bentong turut bersedia bekerjasama dan membantu mencungkil bakat-bakat baharu. Usaha program ini turut menjadi pemangkin memupuk minat murid-murid untuk cemerlang dalam sukan," katanya.

Duduk dari kiri, Presiden Kelab Badminton Chamang (Baru), Faizal Iskandar Anuar, Suhairi, Khairuddin dan Mohd Syairi bersama peserta Bentong Badminton Champ 2021 selepas menerima sijil masing-masing.
Duduk dari kiri, Presiden Kelab Badminton Chamang (Baru), Faizal Iskandar Anuar, Suhairi, Khairuddin dan Mohd Syairi bersama peserta Bentong Badminton Champ 2021 selepas menerima sijil masing-masing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!