Covid-19: Kelantan mungkin tambah PKRC
KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan akan menambah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) memandangkan kes harian jangkitan pandemik itu terus meningkat di negeri ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Husin berkata, sehingga kini Kelantan mempunyai enam PKRC yang sedang beroperasi mengikut kapasiti yang telah ditetapkan.
"Antara PKRC yang kita ada ialah di Asrama Hospital Tengku Anis, Asrama Hospital Pasir Mas, Dewan Jubli Perak, Dewan PUTIK di Pengkalan Chepa, Pusat Latihan Tumpat dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM).
"Kebanyakan dewan yang sedang beroperasi hampir 80 peratus digunakan dan ini agak membimbangkan pihak kami kerana jumlah jangkitan tidak menunjukkan angka menurun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menurut Dr Zaini, pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai digunakan sebagai PKRC tambahan dan kini dalam proses penilaian berdasarkan keperluan KKM.
Beliau berkata, penambahan PKRC ini bukanlah satu berita yang 'baik' dan seharusnya masyarakat perlu lebih peka dengan keadaan semasa terutamanya mereka yang tinggal di tujuh daerah utama yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
"Saya merayu agar seluruh masyarakat menjaga diri masing-masing, jangan keluar rumah jika tiada urusan penting. Hindari kawasan orang ramai.
"Jaga kebersihan diri, kerap membasuh tangan, menggunakan pelitup muka dengan betul dan patuhlah pada prosedur operasi standard yang telah ditetapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!