Pusat panggilan judi online diserbu
KUALA LUMPUR - Polis membongkar kegiatan sindiket pusat panggilan judi online dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Tun Razak, di sini pada tengah malam Selasa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof berkata, serbuan sepasukan pegawai dan anggota JSJ Kuala Lumpur pada jam 12.01 tengah malam itu dilakukan hasil maklumat dan risikan.
"Operasi ini berjaya menahan 11 individu termasuk tiga wanita kesemua berusia lingkungan 19 hingga 38 tahun.
"Semakan mendapati seorang daripada suspek wanita adalah warga China," katanya pada Rabu.
Saiful Annuar berkata, pihaknya percaya sindiket ini mempromosikan kegiatan judi online itu untuk pelanggan dan pemain di negara China sejak dua bulan lalu dengan memperoleh keuntungan kira-kira RM20,000 sehari.
Katanya, sebanyak 100 telefon bimbit dan 17 komputer riba telah dirampas untuk tindakan lanjut.
"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Imigresen," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!