GRO lari masuk laluan rahsia dicekup polis
SUBANG JAYA - Sekali pandang seolah-olah hanya dinding dan rak minuman, namun setelah diperiksa terdapat pintu laluan rahsia yang diubahsuai pemilik pusat hiburan bagi memudahkan pelayan pelanggan (GRO) melarikan diri sekiranya di serbu pihak berkuasa.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahbudin berkata, bagaimanapun ketangkasan polis berjaya menahan kesemua GRO dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Subang Jaya awal pagi tadi.Menurutnya, ketika serbuan dilakukan sekitar jam 1.30 pagi itu, rata-rata GRO sedang leka melayan pelanggan di beberapa bilik karaoke.
"Sebaik menyedari premis diserbu GRO bertempiaran lari melalui lorong rahsia berkenaan, malah ada bersembunyi di kotak suis elektrik dan di bawah kaunter," katanya.
Mohd Khaizam berkata, hasil serbuan, seramai 29 GRO warga Thailand, China dan Vietnam ditahan.
"Polis juga menahan 70 pelanggan dan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Subang Jaya untuk menjalani ujian air kencing.
"Lima pekerja Bangladesh dan lima penjaga premis warga tempatan turut ditahan untuk membantu siasatan," katanya.
Mohd Khaizam menambah, pemeriksaan lanjut polis menemui beberapa pinggan mengandungi serbuk putih di percayai dadah.
"Turut ditemui beberapa pek plastik berwarna hitam juga dipercayai mengandungi dadah. Sistem audio dan sejumlah wang tunai turut dirampas," katanya.
Serbuan dilakukan oleh bahagian Maksiat Perjudian dan Kongsi Gelap D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!