Dua keluarga mangsa kebakaran layak terima PA, PPR

Kebakaran di Lorong Pasar Sentul yang berlaku pada awal Januari lalu.
Kebakaran di Lorong Pasar Sentul yang berlaku pada awal Januari lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hanya dua daripada 10 mangsa kebakaran di Lorong Pasar Sentul, Jalan Sentul pada Januari lalu dikenal pasti layak dipertimbangkan penempatan di Perumahan Awam (PA) atau Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, pihaknya telah membuat dua kali bancian terperinci bagi mengenalpasti status kewarganegaraan mangsa terlibat pada 14 Januari dan 8 Februari lalu.

Menurut kenyataan itu, semakan rekod pemilikan harta dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut dilaksanakan sebelum ini berhubung perkara itu.

"Berdasarkan fakta diperoleh dan maklum balas LHDN, DBKL mendapati hanya dua mangsa kebakaran layak dipertimbangkan penempatan tersebut," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, bagi meringankan bebanan mangsa, pihak terlibat sebelum ini telah ditempatkan pusat pemindahan sementara (PPS) dan turut menerima sumbangan wang RM500 melalui Pejabat Cawangan Batu.

Tambah kenyataan itu, buat masa ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga masih menyiasat punca kebakaran itu.

"Rumah kediaman setinggan ini didirikan atas tanah rizab kerajaan dan dikatakan terdapat seramai enam keluarga sewaktu kejadian," kata kenyataan itu.

Pada Januari lalu, sebuah rumah kediaman terdiri daripada lima bilik tidur, sebuah stor katering dan bahagian dapur katering hangus terbakar dalam kejadian sekitar jam 7 malam itu.

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!