Darurat mungkin sekali lagi diisytihar di Tokyo, Osaka dan Hyogo

Kerajaan Jepun merancang melaksanakan sekali lagi darurat di Tokyo, Osaka dan Hyogo. - Foto AFP
Kerajaan Jepun merancang melaksanakan sekali lagi darurat di Tokyo, Osaka dan Hyogo. - Foto AFP
A
A
A

TOKYO - Kerajaan Jepun merancang melaksanakan sekali lagi darurat di Tokyo, Osaka dan Hyogo berikutan lonjakan kes Covid-19 sehingga menggugat sistem kesihatan di daerah itu, menurut sumber kerajaan.

Perkembangan terbaharu itu selepas kerajaan tempatan Osaka pada Selasa meminta Perdana Menteri, Yoshihide Suga mengeluarkan perisytiharan darurat.

Kerajaan metropolitan Tokyo turut merancang mengemukakan permohonan yang sama dalam masa terdekat, lapor Kyodo.

Merujuk kepada permintaan Osaka, Suga pada Selasa berkata kerajaannya akan 'segera membuat keputusan selepas menilai secara menyeluruh situasi dan meneliti langkah-langkah yang wajar diambil'.

Gabenor Osaka Hirofumi Yoshimura meminta kemudahan hiburan dan komersial utama ditutup sementara, selain penyedia perkhidmatan makanan dan minuman disaran memendekkan waktu perniagaan.

Menyentuh mengenai peningkatan jangkitan di Hyogo, Suga berkata, keputusan akan dibuat selepas meneliti keadaan di sana.

Andai dilaksanakan kelak, ini adalah kali ketiga darurat diisytiharkan di Jepun sejak bermulanya pandemik Covid-19 awal tahun lalu dan dilaksana hanya tiga bulan sebelum pembukaan Olimpik Tokyo.

Namun, Suga berkata, darurat kali ini tidak akan mempengaruhi penganjuran Sukan Olimpik dan Paralimpik dan kerajaan akan terus berusaha untuk menganjurkan kejohanan itu dengan selamat.

Artikel Berkaitan:

Apabila darurat diisytiharkan, Yoshimura merancang membatalkan atau menangguhkan semua acara di wilayah Osaka selain meminta syarikat melaksanakan arahan bekerja dari rumah.

Gabenor Tokyo Yuriko Koike pula mahu kemudahan rekreasi menghentikan sementara operasi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!