Pengguna mahukan yang terbaik daripada syarikat telco
Malaysia hari ini telah memasuki era digital. Kemelut pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini antara punca yang mempercepat lagi era digitalisasi di negara ini.
Era digital mengalami perkembangan yang sangat pantas dan pada masa depan manusia akan menjalani kehidupan bersama digital sepenuhnya.
Kenapa digital terus berkembang? Manusia dari semasa ke semasa, dari zaman ke zaman memerlukan kehidupan yang lebih praktikal dan efisien.
Era digital juga bermaksud menggantikan beberapa teknologi masa lalu untuk menjadikannya lebih moden dan mudah diurus pada masa akan datang.
Persoalannya, mampukah syarikat telekomunikasi menyokong keperluan tersebut?
Peranan telco
Malaysia antara negara di Asia terawal memulakan perjalanan ke arah 5G. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, produk dan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menyumbang 18. 5 peratus kepada ekonomi negara pada 2018.
Justeru, peranan syarikat-syarikat telekomunikasi amat penting dalam mendokong era digitalisasi. Setiap syarikat telekomunikasi pastinya berlumba-lumba untuk menaiktaraf perkhidmatan dan memberikan tawaran yang menarik bagi memenangi hati pengguna.
Menyebut tentang peranan telco, cadangan penggabungan dua syarikat telekomunikasi Negara, Celcom Axiata Berhad (Celcom) dengan Digi.com Berhad (Digi) menerusi Celcom Digi Berhad, mendapat pelbagai reaksi.
Sejauh manakah gabungan ini mampu memberi manfaat besar kepada pengguna pada masa depan?
Ramai yang bimbang penyatuan dua syarikat gergasi ini memberi impak negatif kepada pengguna sehingga ada pihak yang menggesa agar gabungan ini dikaji semula.
Secara teknikalnya, tentulah penggabungan tersebut akan memberikan banyak kelebihan kepada kedua-keduanya dari segi kekuatan modal dan kemajuan ekonomi. Namun persoalannya, adakah ia menguntungkan pelanggan Celcom dan Digi selepas ini untuk menikmati perkhidmatan yang lebih baik dengan teknologi terkini pada harga berpatutan?
Mampukah gabungan pengendali mudah alih terbesar negara itu berupaya membantu melonjakkan Malaysia ke arah Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) dan memenuhi visi pembentukan negara digital?
Dalam kes di mana industri kini menghadapi cabaran dalaman dan luaran, skala dan tahap kecekapan operasi dan penjimatan kos penting agar dapat diteruskan untuk memberi manfaat kepada pelanggan.
Harapan pengguna
Rata-rata pengguna perkhidmatan Celcom dan Digi menyambut baik cadangan penggabungan ini. Mereka yakin ia mampu memberi kesan kepada kualiti perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna.
Jurutera rangkaian, Muhammad Harith Shauqi Sani, 23, berkata, dengan penggabungan itu, ia diyakini dapat menyatukan kelebihan yang dimiliki kedua-dua syarikat itu dalam memberikan perkhidmatan yang lebih maju dan berdaya saing.
“Ini satu langkah yang bagus dari segi kemajuan teknologi memandangkan setiap syarikat telekomunikasi mempunyai kelebihan masing masing,” katanya.
Sementara itu, Pembangun Web, Muhammad Syahmi Rosli, 24, menyifatkan penggabungan itu dijangka dapat mempercepatkan dan meningkatkan kualiti sambungan 4G sedia ada, sementara menunggu rangkaian 5G dalam masa terdekat.
Dia turut mengharapkan penggabungan ini mampu mewujudkan pekerjaan baru dalam bidang IT, digital dan teknologi yang tentunya dinanti-nantikan oleh anak muda.
“Saya harap akan lebih banyak pusat inovasi dibangunkan agar anak muda Malaysia dapat memperoleh keuntungan dengan meningkatkan kecekapan digital mereka kerana dunia telah berubah secara mendadak dan kita perlu berfikir secara global,” katanya.
Sementara itu, guru, Nurul Habibah Mohd Idrus, 36, yakin kedua-duanya bakal menyediakan perkhidmatan rangkaian yang terbaik di samping menaiktaraf pembangunan pendidikan.
Katanya, pelbagai bentuk inovasi diperlukan untuk memberi akses dan hubungan yang lebih baik kepada sektor pendidikan melalui platform digital.
“Gabungan ini pasti akan memberi manfaat kepada pelajar yang akan bergantung pada perkhidmatan rangkaian yang berkualiti dan inovatif agar tidak ketinggalan dalam memenuhi keperluan pendidikan mereka terutama ketika kita pulih daripada wabak dan menerapkan norma baru dalam kehidupan,” ujarnya.
Beliau turut berharap gabungan Celcom dan Digi ini dapat memperkenalkan teknologi baru dalam mempertingkatkan lagi pembangunan e-pembelajaran yang akan memberi manfaat besar kepada pelajar dan sektor pendidikan itu sendiri.
Bagi, pekerja swasta, Muhammad Fadhli Amnan Muhammad Isa, 23, penggabungan antara Celcom dan Digi itu diharap dapat menyelesaikan isu berkaitan kualiti liputan dan kepantasan talian yang dihadapi pengguna khususnya di luar bandar.
“Dengan penyatuan Celcom dan Digi, saya dapat membayangkan bagaimana kualiti dan hubungan akan bertambah baik dan diharapkan dapat mengurangkan jurang digital antara masyarakat luar bandar dan bandar.
“Keutamaan harus diberi kepada penduduk luar bandar dari segi capaian dan kawasan liputan supaya mereka sama-sama dapat nikmati kemudahan penting ini,” katanya.
Peranan sektor digital kepada manusia
1. Sektor Komunikasi
Sedar atau tidak, bidang komunikasi mengalami perkembangan terpantas dalam hal pendigitalan. Dalam era lonjakan digital, semua pihak sama ada individu, sektor perniagaan, kerajaan mahupun perkhidmatan perlu bersatu memainkan peranan dalam usaha meningkat taraf teknologi bagi mencapai matlamat 5G.
Sesuai dengan gaya hidup normal baru, peranan syarikat telekomunikasi tidak lagi hanya menjadi penyedia hubungan tetapi akan mengubah model perniagaan agar berperanan lebih jauh bagi mencapai tahap sosio-ekonomi di era digital.
Daya saing syarikat telekomunikasi terletak pada kemampuan mereka dari segi pelaburan kewangan bagi membangunkan perkhidmatan dan teknologi berkaitan Internet of Things (IoT) untuk sampai kepada sasaran.
2. Sektor Perniagaan
Penggunaan digital dalam sektor perniagaan tiba-tiba melonjak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu.
Apabila sektor perniagaan terpaksa ditutup ketika PKP, teknologi digital berjaya menghubungkan majikan dan pekerja yang bekerja dari rumah tanpa sebarang masalah.
Teknologi juga terbukti memudahkan syarikat menjangkau pengguna menerusi aplikasi dalam talian untuk mempromosikan produk masing-masing.
3. Sektor kewangan
Penggunaan digital dalam sektor kewangan semakin berkembangan apabila urusan perbankan pada masa kini fokus kepada e-dompet (e-wallet).
Digital dalam sektor kewangan menjadikan semua urusan transaksi boleh dilakukan hanya dengan menggunakan telefon pintar tanpa perlu keluar dari rumah.
4. E-Dagang
Kehadiran E-Dagang sebagai penyedia perkhidmatan produk dan barang dalam talian memudahkan hubungan perniagaan berlaku antara pengusaha dan pelanggan.
Bermula di hujung jari dan hanya beberapa minit, pengguna hanya perlu masuk ke aplikasi atau laman web untuk membuat pilihan, pesanan dan bayaran.
Kesimpulannya, penggabungan ini penting bagi Malaysia untuk memenuhi aspirasi digitalnya dan berubah menjadi ekonomi digital supaya tidak ketinggalan dengan negara-negara lain di Asia dan Asia Tenggara yang maju secara agresif.
Komunikasi mudah alih tetap menjadi komponen penting seiring dengan kejayaan wawasan negara. Gabungan kukuh ini diharap dapat memastikan pelanggan, industri dan negara memperoleh keuntungan yang tinggi. Adalah wajar untuk mengharapkan cabaran tetapi peningkatan jauh melebihi keburukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!