'Kenapa hanya 10 barangan yang dikawal?'
SHAH ALAM - Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub mempersoalkan jumlah barangan kawalan yang disenaraikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sempena musim perayaan Aidilfitri.
Menurutnya, kerajaan boleh melakukan yang lebih baik berkenaan bilangan barangan terkawal untuk membantu rakyat sekiranya Menteri berkaitan menggunakan kuasa yang ada dengan sebaiknya.
“Kenapa hanya 10 barangan sahaja yang dikawal. Kami masa Pakatan Harapan (PH) dulu (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan KPDNHEP 2019) senaraikan 22 barang-barang kawalan untuk keselesaan rakyat menyambut hari-hari perayaan utama di negara ini.
“Bantulah yang terbaik untuk rakyat. Menteri-menteri ada kuasa. Guna kuasa dengan sebaik-baiknya,” katanya yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN:12 barang kawalan sempena Aidilfitri
Pada Isnin, KPDNHEP mengenal pasti barangan kawalan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021.
Barangan berkenaan membabitkan ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan, daging lembu import, telur ayam gred A, B dan C, ikan kembung termasuk ikan mabung, ikan selayang dan ikan tongkol.
Pada masa sama, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan pertambahan senarai harga terkawal menjelang Aidilfitri.
"Kita mungkin akan menyenaraikan 20 barangan SHMMP demi kepentingan pengguna," kata Alexander.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!