Naikkan harga ayam: KPDNHEP keluarkan lima notis

Wan Romani (dua kiri) memantau harga ayam di gerai seorang peniaga di Pasar Besar Alor Setar di sini pada Rabu.
Wan Romani (dua kiri) memantau harga ayam di gerai seorang peniaga di Pasar Besar Alor Setar di sini pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Kedah mengeluarkan lima notis bertulis ke atas dua penternak dan tiga pemborong ayam di negeri ini yang menaikkan harga tidak munasabah.

Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Wan Romani Wan Salim berkata, notis dikeluarkan sejak 15 April lalu mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mengawal kenaikan harga yang tidak munasabah.

Katanya, sekiranya didapati berlaku pencatutan pihak berkenaan akan dikenakan tindakan.

"Mereka perlu memberi maklumat melalui dokumen seperti resit, invois jualan, invois belian dan penyata jualan pada tahun semasa serta tahun sebelum (2020,2019 dan 2018) untuk melihat kenaikan harga itu rasional atau ada unsur pencatutan," katanya ketika ditemui di program Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2021 di Pasar Besar Alor Setar di sini pada Rabu.

Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Kedah, Rae Morn Verak.

Dalam pada itu, Wan Romani berkata, pemantauan yang dijalankan mendapati 90 peratus daripada peniaga pasar itu mematuhi harga siling ditetapkan ketika skim berkenaan yang berkuatkuasa mulai 21 April sehingga 20 Mei depan.

"Kepada peniaga yang tidak mematuhi harga siling ditetapkan kita bagi tempoh tiga hari bermula hari ini kerana ada yang mendakwa masih menggunakan stok lama.

"Kita memberi peluang kepada pihak peniaga sehingga mereka dapat menyelaraskan harga mengikut skim ditetapkan. Oleh sebab itu, hari ini kita memberi nasihat dan rundingan selain mendengar masalah mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Wan Romani, peniaga ayam di pasar tersebut didapati mula menurunkan harga kepada RM7.90 sekilogram sementara daging tempatan pula RM34 sekilogram bermula Rabu sempena skim harga terbabit.

Sebelum ini harga ayam pernah menjadi isu apabila mengalami kenaikan mendadak sehingga hampir RM10 sekilogram.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!