Covid-19: Kawalan plaza tol di sempadan negeri diperketat

PDRM mengawal ketat plaza tol di ibu negara dan di setiap jalan masuk sempadan negeri melalui sekatan jalan raya bagi mengawal pergerakan rentas negeri dalam mengekang wabak Covid-19 yang direkodkan mencecah lebih 2,000 kes sejak beberapa hari lepas.
PDRM mengawal ketat plaza tol di ibu negara dan di setiap jalan masuk sempadan negeri melalui sekatan jalan raya bagi mengawal pergerakan rentas negeri dalam mengekang wabak Covid-19 yang direkodkan mencecah lebih 2,000 kes sejak beberapa hari lepas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal ketat plaza tol di ibu negara dan di setiap jalan masuk sempadan negeri melalui sekatan jalan raya bagi mengawal pergerakan rentas negeri dalam mengekang wabak Covid-19 yang direkodkan mencecah lebih 2,000 kes sejak beberapa hari lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, gerakan memperketatkan pergerakan rentas negeri dibuat susulan arahan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

“Ketika ini perjalanan merentas negeri sedang diperketatkan di plaza-plaza tol. Selain itu, (perjalanan) rentas negeri masih terkawal di jalan masuk sempadan negeri oleh sekatan jalan raya di bawah pentadbiran ketua polis negeri masing-masing,” katanya kepada Bernama pada Rabu.

Isnin lepas, Acryl Sani dilaporkan berkata, pergerakan rentas negeri bagi tujuan pekerjaan, perubatan dan pendidikan hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis, manakala bagi tujuan kecemasan dan kematian yang dibenarkan hanya melibatkan ahli keluarga terdekat iaitu ibu bapa, anak serta adik-beradik.

Pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial seperti menghadiri kenduri perkahwinan dan apa-apa jenis majlis dan jamuan lain pula adalah dilarang.

Ia ekoran PDRM mengambil serius peningkatan kes baharu Covid-19 sejak beberapa hari lepas dan usaha untuk mengekang penularan wabak itu telah diperketatkan.

Mengulas mengenai aliran trafik di plaza-plaza tol utama, Azisman berkata, ketika ini aliran trafik adalah lancar dan berjalan seperti biasa.

“Aliran trafik seperti biasa (dan) lancar. Walaupun ada sedikit peningkatan (aliran trafik) tetapi masih lagi terkawal. Hanya pada waktu puncak, berlaku sedikit kesesakan waktu pergi pejabat dan di sebelah petang untuk balik dari pejabat ke rumah,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!