Bank Rakyat agih 3,000 juadah berbuka kepada petugas media
SHAH ALAM - Bank Rakyat menyumbang sebanyak 3,000 pek makanan juadah berbuka kepada petugas media sekitar Lembah Klang, Sabah dan Sarawak sempena program Edaran Pek Berbuka Puasa Media Jalinan Ramadan sejak awal Ramadan lalu.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, sumbangan agihan juadah berbuka itu adalah sebagai tanda penghargaan Bank Rakyat terhadap petugas media yang banyak membantu terutamanya dalam menghebahkan program anjuran Bank Rakyat kepada masyarakat.
"Tanpa hebahan yang tepat daripada pihak media, pastinya orang awam kurang mengetahui segala kempen yang kami anjurkan. Ini adalah satu cara kami mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang banyak menyokong Bank Rakyat selama ini.
"Aktiviti ini diadakan setiap tahun dan tahun ini adalah tahun kelapan. Pihak kami juga bercadang untuk memperluaskan lagi agihan sumbangan ke seluruh negara pada Ramadan 2022," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Dalam pada itu, Nizam berkata, Bank Rakyat juga mengadakan program Jalinan Ramadan yang merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu masyarakat yang memerlukan khususnya golongan B40.
Beliau berkata, pihaknya memahami keadaan pelanggannya dan turut menawarkan hadiah menarik berjumlah RM300,000 menerusi Kempen Jalinan Lebaran yang berlangsung hingga 30 Jun 2021 sempena sambutan Aidilfitri pada tahun ini.
Katanya, kempen itu memberi tumpuan kepada keperluan asas pelanggan bagi memastikan hari raya disambut penuh ceria.
“Orang ramai boleh merebut peluang dengan menyertai kempen menerusi langganan produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Pembiayaan PKS/Mikro/Koperasi, Pembiayaan Pajak Gadai-i serta Kad Kredit-i Bank Rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!