Petugas tapak projek jumpa bom mortar, peluru meriam
SUNGAI PETANI - Polis menemui dua butir bom mortar dan 77 peluru meriam jenis artillery di sebuah tapak projek dekat SP Saujana, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kesemua penemuan itu ditemui dalam tapak pembinaan projek perumahan yang sedang dijalankan di kawasan terbabit.
Menurutnya, polis menerima maklumat awal daripada petugas tapak projek mengatakan telah menemui sebanyak 22 butir peluru kira-kira 6.20 petang pada Selasa.
"Hasil pemeriksaan menemui sebutir bom mortar sepanjang 42.5 sentimeter dan ukuran lilit sepanjang 30 sentimeter dalam keadaan disaluti tanah berlumpur serta berkarat.
"Selain itu, sebanyak 22 peluru meriam jenis artillery dari dalam tanah juga telah dikeluarkan dari kawasan sama," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Adzli, ketika pencarian, pasukannya turut menemui sejumlah 10 butir peluru lagi yang masih tertanam pada kedalaman anggaran 0.9 meter di lokasi kejadian.
Katanya, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda, yang melakukan pemeriksaan fizikal menyifatkan bom terbabit masih aktif.
Menurutnya, operasi kemudian diteruskan dengan kekuatan seramai 12 anggota termasuk pegawai dari UPB Ibu Pejabat Kontinjen Kedah dan UPB IPD bagi tujuan pencarian dan pemusnahan bom yang akhirnya menemui sebanyak satu bom mortar dan 55 peluru.
Secara keseluruhannya, sebanyak dua butir bom mortar dan 77 butir peluru meriam ditemui di kawasan terbabit sehingga jam 3.30 petang Rabu.
"Kesemua bom dan peluru dihantar ke Rumah Magazin, Balai Bukit Selambau, Kedah untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi pencarian seterusnya akan bersambung pada Khamis," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!