Kenanga Investors raih anugerah kumpulan dana Islam kali keempat
KENANGA Investors Berhad sekali lagi meraih Anugerah Kumpulan Dana Wang Simpanan Islam Malaysia (Ekuiti) bagi empat tahun berturut-turut selain Anugerah Kumpulan Dana Wang Simpanan Malaysia (Aset Bercampur) secara keseluruhan tahun ini.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismitz Matthew De Alwis berkata, selain anugerah keseluruhan, kemenangan lain termasuk Dana SyariahEXTRA Kenanga (KSEF) yang menerima sejumlah empat anugerah dalam dua kategori.
“Selain itu, kami juga memenangi anugerah Dana Islam Malaysia dan Dana Wang Simpanan Malaysia di bawah Aset Bercampur MYR Terimbang bagi tiga tahun dan lima tahun.
“Kenanga Growth Opportunities Fund (KGOF) turut memenangi anugerah Dana Wang Simpanan Malaysia di bawah Ekuiti Malaysia Modal Kecil dan Sederhana bagi tiga tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut beliau berkata, kejayaan tersebut adalah hasil daripada komitmen pihaknya ke arah mencapai prestasi yang mampan.
“Pada tahun lepas, keputusan kami untuk memfokuskan sektor teknologi dan perkhidmatan penjagaan kesihatan terbukti berkesan berikutan permintaan dalam sektor ini melonjak akibat pandemik Covid-19.
“Secara keseluruhan, kami memilih untuk berpegang kepada keyakinan kami bagi perspektif jangka masa lebih panjang sekali gus menyumbang kepada kenaikan semula dan prestasi luar biasa.
“Kami juga akan terus menggunakan strategi ‘barbell’ dalam pemilihan sektor kami dan mengekalkan fokus terhadap teknologi untuk memanfaatkan aliran pertumbuhan sekular di samping mengambil peluang dalam sektor yang lebih bersifat kitaran,” katanya.
Sehingga 31 Disember lalu, KSEF meraih pulangan sebanyak 40.29 peratus (3 tahun), 62.78 peratus (5 tahun) dan 119.79 peratus(10 tahun). Bagi tempoh yang sama, KGOF pula mencatat pulangan sebanyak 50.81 peratus (3 tahun), 63.62 peratus (5 tahun) dan 156.80 peratus (10 tahun).
Dalam kenyataan sama, Ismitz berkata, firma pengurusan aset dan kekayaan turut bercadang untuk mengembangkan jangkauannya ke arah pelaburan mampan.
“Kami giat menyokong minat yang kian meningkat dalam pelaburan yang bertanggungjawab dari segi sosial dan pelaburan dana Islam yang menyaksikan permintaan yang memuncak dalam tempoh pasca pandemik.
“Dunia pelaburan mampan ini akan menjadi komponen penting ke arah penyediaan nilai jangka panjang memandangkan penunjuknya menawarkan cerapan tambahan bagi menilai kelanjutan syarikat melebihi prestasi kewangan tradisional,” katanya.
Tambah beliau, Kenanga Investors turut melancarkan Dana Wakaf Al-Ihsan Kenanga sejajar dengan pengumuman rangka kerja baharu oleh pihak berkuasa pengawal selia.
Menurutnya, ia bertujuan untuk memudahkan lagi penawaran dana Islam dengan ciri wakaf selain mengembangkan segmen kewangan sosial Islamik.
“Langkah ini dibuat selepas memperoleh dana pertukaran dagangan Islam tempatan baru-baru ini yang telah menambahkan paras terhadap produk ETF yang sedia ada,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!