Azizulhasni sokong Gerakan Reben Hijau
JAGUH berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang menyatakan sokongannya kepada Gerakan Reben Hijau untuk memberi kesedaran mengenai kesihatan mental.
Bekas juara dunia dan harapan pingat emas negara di Sukan Olimpik Tokyo itu berkata, 19 peratus daripada golongan dewasa terjejas akibat penyakit mental, 46 peratus golongan remaja dan 13 peratus adalah kanak-kanak pada setiap tahun.
Katanya, jumlah itu kemungkinan lebih tinggi ketika pandemik Covid-19 melanda.
“Jika kamu mengetahui seseorang yang mengalami masalah mental, tunjukkan sokongan dan empati. Satu pelukan, sepucuk surat penghargaan atau ungkapan ‘saya di sini jika awak memerlukan’ amat membantu seseorang dalam situasi itu.
“Kesedaran terhadap kesihatan mental adalah isu penting, dan marilah menunjukkan sokongan dengan menyertai Gerakan Reben Hijau diketuai Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan @imanabdullah. Terima kasih dan syabas atas inisiatif ini dan saya berbangga untuk menjadi sebahagian daripada gerakan ini,” katanya dalam hantaran di media sosialnya pada Rabu.
Gerakan Reben Hijau adalah perusahaan sosial diasaskan oleh puteri sulung Yang di-Pertuan Agong Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan.
Ia bertujuan memperkasakan pihak berkepentingan dalam meningkatkan kesedaran mengenai isu kesihatan mental yang dihadapi dan mewujudkan penyelesaian melalui advokasi, pengumpulan dana dan jalinan kerjasama.
TAG: gerakan reben hijau, mohd azizulhasni awang, kesedaran kesihatan mental, tengku puteri raja tengku puteri iman afzan, penyakit mental
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!